PKPB Kelantan: Solat Jumaat dan fardu dibenarkan ikut syarat

Tengku Mohamad Rizam
Tengku Mohamad Rizam
A
A
A

KOTA BHARU - Solat Jumaat dan solat fardu di masjid, surau mahupun musalla dibenarkan dilaksanakan di Kelantan bermula Rabu dengan mengikuti prosedur tertentu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan semua kuliah agama dan kelas al-Quran di masjid, surau dan musalla ditangguhkan sehingga 26 Januari ini.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenaan supaya solat dibenarkan tetapi mengikuti sepenuhnya garis panduan PKPB.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya pihak pengurusan masjid. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan mematuhi SOP. MAIK amat mengharapkan kerjasama semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid bandar, mukim serta jajahan dibenarkan maksima untuk 50 orang dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Sementara itu, di surau pula 30 jemaah dibenarkan pada setiap waktu dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Bagi musalla pula dibenarkan 10 jemaah tertakluk kepada kapasiti muatan selepas mengambil kira penjarakan fizikal,” katanya.

Beliau juga memaklumkan yang pegawai-pegawai masjid (Imam Tua, Imam Muda, Bilal dan Siak), Ahli Jawatankuasa Masjid dan anak-anak mukim terpilih sahaja dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Tengku Mohamad Rizam, ahli jawatankuasa dan anak-anak mukim yang berumur 70 tahun dan individu bergejala, batuk, selesema, sakit tekak tidak dibenarkan hadir.

Sebagaimana sebelum ini, katanya, jemaah perlu membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk di rumah terlebih dahulu.

“Saringan suhu perlu dibuat dan individu mempunyai bacaan suhu lebih 37.4 darjah celsius tidak dibenarkan masuk ke masjid,” katanya.

Katanya, jemaah perlu memakai pelitup muka dan kehadiran direkodkan selain imam perlu memastikan solat diselesaikan dalam tempoh 20 minit setelah azan.

“Kebenaran pelaksanaan solat Jumaat tertakluk kepada kehadiran sekurang-kurangnya seorang anggota polis di setiap masjid,” katanya.