X

Kindly register in order to view this article
!

2,000 keluarga terima manfaat projek Bantu Sebelum Beku

Muhammad Nadir Al-Nuri (kiri) menyarungkan baju sejuk kepada kanak-kanak Gaza yang dibantu menerusi projek Bantu Sebelum Beku.
A
A

SHAH ALAM - Pada musim sejuk kali ini, Cinta Gaza Malaysia (CGM) menyalurkan bantuan berbentuk baju sejuk, but, selimut tebal, tilam, dan pemanas haba menggunakan dana hampir RM2 juta yang berjaya dikumpulkan menerusi projek Bantu Sebelum Beku.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamrulzaman berkata, bantuan itu diagihkan kepada penerima-penerima di Gaza, Tebing Barat Palestin, Kem Pelarian Syria dan Kem Pelarian 3 di Greece bermula 25 September sehingga 31 Disember lalu.

Menurutnya, dengan sokongan rakyat Malaysia dan kerjasama daripada pelbagai pihak, dana sebanyak RM1,986,533.34 berjaya dikumpulkan.

“Usaha murni ini turut dibantu oleh rakan kerjasama CGM iaitu Iman Care, Dana Kita Cakna Palestin, Misi Sedekah Jumaat, Yayasan Amal Malaysia Pahang, GRIPERANCIS, Al Azhar Care, Persatuan Pengajian Islam Uniten, Serantau Muslim dan Warga Cakna.

“Beberapa rakan penaja yang turut bersama usaha ini ialah Telekung.co HS Optometry, Scholars Ink, Masjid Ar Rahim, dan Teraju Global Ventures,” katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan penerima manfaat adalah seramai 10,000 orang atau kira-kira 2,000 keluarga.

“Sepanjang musim sejuk ini, CGM juga menjalankan projek ‘Home4Humanity’ iaitu projek baik pulih rumah penduduk Gaza yang tidak sesuai untuk didiami pada musim sejuk.

“Projek tersebut bertujuan membaiki kerosakan seperti dinding yang roboh, atap berlubang dan menyediakan dapur yang lebih baik untuk mereka.

“Sasaran untuk ‘Home4Humanity’ kali ini adalah 25 buah rumah. Projek ini masih diteruskan pada bulan Januari 2021 dan September 2021,” katanya.

Menurutnya, usaha itu dilaksanakan untuk memastikan penduduk Gaza dapat mengharungi musim sejuk dengan keadaan yang selesa dan sehingga 31 Disember lalu, lima buah rumah berjaya dibaik pulih.

Katanya, orang ramai yang ingin menyumbang untuk membantu penduduk Gaza boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank Persatuan Cinta Gaza Malaysia 5648 1050 7826 atau layari winter4gaza.com.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!