Proklamasi darurat beri kuasa kepada kerajaan

Syahredzan Johan - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Syahredzan Johan - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebarang peruntukan undang-undang khusus yang boleh diambil buat masa ini bagi sesiapa yang melanggar proklamasi darurat.

Seorang peguam, Syahredzan Johan berkata, proklamasi darurat itu bagaimanapun memberikan kuasa kepada kerajaan melalui Ordinan Darurat yang dipromulgasi oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menggubal undang-undang tanpa melalui Parlimen.

Beliau berkata, maka ia memberikan kuasa yang besar kepada pihak kerajaan tanpa semak dan imbang institusi seperti Parlimen.

“Saya tidak lihat keperluan kerajaan menasihatkan Seri Paduka Baginda untuk membuat proklamasi itu kerana undang-undang sedia ada seperti Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit sudah cukup membendung wabak Covid-19 seperti pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Kerajaan beri jaminan bahawa tidak ada pemerintahan tentera ataupun perintah berkurung, tetapi apa yang penting kuasa untuk berbuat demikian masih di tangan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.*

ARTIKEL BERKAITAN: Agong perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos*

Proklamasi darurat bukan rampasan kuasa tentera*

Tindakan tegas jika ganggu urusan kerajaan tangani Covid, ekonomi: PM*

Artikel Berkaitan:

Syahredzan berkata, darurat itu sendiri tidak mewujudkan undang-undang baharu cuma undang-undang Ordinan Darurat boleh diwujudkan melalui promulgasi Yang di-Pertuan Agong atas nasihat kerajaan seperti dijelaskan.

Seorang pakar undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang memberikan pandangan sama kerana darurat yang diisytihar itu tidak melibatkan undang-undang tentera, tiada perintah berkurung atau elemen untuk mengekang komunis dan sebagainya.

Salleh Buang
Salleh Buang

“Tiada tindakan dari segi undang-undang kerana darurat yang diumumkan fokus mengekang penularan Covid-19 serta menyekat tindakan politikus yang keras kepala.

“Bagaimanapun tindakan tegas di bawah Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit masih terpakai,” katanya.