[VIDEO] 'Bukan senang nak ajar isteri orang putih bahasa Melayu'

Logesh bersama isteri, Rachel dan dua anaknya, Zaden Kumaar, 2, serta Kyren Kumaar, 5 bulan, gembira memartabatkan bahasa Melayu di negara asing.
Logesh bersama isteri, Rachel dan dua anaknya, Zaden Kumaar, 2, serta Kyren Kumaar, 5 bulan, gembira memartabatkan bahasa Melayu di negara asing.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki dari Klang, Selangor yang menetap di San Francisco Bay Area, California mencuri perhatian netizen kerana gigih melatih isterinya supaya fasih menggunakan bahasa Melayu.

Logesh Kumar, 33, yang bertugas sebagai 'media strategies' di sebuah agensi pemasaran di negara itu mengajar isterinya, Rachel, 30, bertutur dalam bahasa Melayu kerana mahukan ahli keluarganya mengetahui bahasa ibunda bagi negara asalnya.

"Saya sudah membimbing isteri sejak beberapa tahun lalu tetapi lebih serius ketika Covid-19 melanda negara, mengakibatkan kami perlu berada di rumah sepanjang hari.

"Mengambil kesempatan ini, saya didik isteri pelajari bahasa Melayu. Saya menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan setiap hari kerana dengan cara ini, Rachel dapat memahami dan lebih mudah untuk dia mengingati sesuatu perkataan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Ciapan Logesh tular di laman sosial.
Ciapan Logesh tular di laman sosial.

Walaupun sudah menetap di negara itu hampir 10 tahun, Logesh masih menghormati dan menggunakan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi ketika bersama ahli keluarganya.

Bapa kepada dua anak itu mahukan keluarga kecilnya fasih bertutur dan menulis dalam bahasa ibunda kerana mahu menyerlahkan mereka adalah anak Malaysia.

"Sememangnya saya mahukan semua ahli keluarga boleh bertutur, menulis dalam bahasa Melayu. Ini kerana saya anak Malaysia yang bangga membawa budaya negara kita ke luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya selalu akan berkomunikasi secara bercampur, bahasa Inggeris kadang kala bahasa Melayu. Apabila mahukan cabaran, saya akan bercakap bahasa Melayu selama dua jam atau empat jam. Dalam waktu ini, memang isteri perlu becakap dalam bahasa Melayu sahaja.

"Mungkin sukar, tetapi dia (isteri) gembira dan suka pelajari benda baru," katanya yang turut memiliki akaun YouTube Kumaar Family yang mendapat 110,000 langganan sejak ditubuhkan pada Mei 2020.

Logesh mahukan keluarga kecilnya fasih bertutur dan menulis dalam bahasa ibunda kerana mahu menyerlahkan mereka adalah anak Malaysia.
Logesh mahukan keluarga kecilnya fasih bertutur dan menulis dalam bahasa ibunda kerana mahu menyerlahkan mereka adalah anak Malaysia.

Bercakap mengenai budaya dan adat resam pula Logesh berpandangan, ramai anak Malaysia kurang menghargai budaya termasuk dirinya.

"Sebelum saya berpindah ke luar negara, saya tidak kisah mengenai budaya, adat resam kita tetapi setelah melanjutkan pelajaran di universiti di Fremont, California dan menetap di sini, baru saya sedar bahawa budaya kita memang sangat indah dan ia lambang identiti saya.

"Hargailah budaya dan asal usul kita kerana kitalah 'duta' kecil mewakili negara tercinta apabila merantau ke negara asing," katanya.

Terdahulu, video dimuat naik di Twitter Logesh, mengenai kisah isterinya belajar bahasa Melayu tular di laman sosial hingga meraih lebih 489,000 tontonan pada Ahad menerusi ciapan, 'Bukan senang nak ajar isteri orang putih Bahasa Melayu. Tapi saya akan terus mencuba sampai dia fasih'.

Logesh juga bertutur dalam bahasa Melayu dengan anaknya.
Logesh juga bertutur dalam bahasa Melayu dengan anaknya.

Bercerita pula mengenai penularan video tersebut, Logesh tidak menyangka rakaman berdurasi 33 saat itu berjaya menarik perhatian orang ramai. Dia gembira kerana netizen terhibur.

Bukan senang nak ajar isteri omputih Bahasa Melayu. Tapi saya akan terus mencuba sampai dia fasih. pic.twitter.com/NuKZ0vOsND

— Kumaar Family (@kumaarfamily) January 10, 2021