PRK Semenyih: PKR perlu terima keputusan PH letak calon Bersatu

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor Amirudin Shari meminta ahli parti itu menerima dengan hati terbuka keputusan PH meletakkan calon Bersatu bertanding dalam PRK Dun Semenyih.

"Saya rasa mereka (akar umbi) bukanlah kecewa sangat. Dalam pilihan raya lepas pun (calon) ialah dari Bersatu.

"Mereka mungkin menyampaikan pandangan mereka dan semua pandangan itu telah dinilai dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar sebelum ini, Amirudin selaku Pengerusi PH Selangor menyatakan terdapat suara di peringkat akar umbi yang mahukan kepimpinan parti memilih calon daripada PKR bertanding dalam PRK DUN Semenyih.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata pihaknya tetap berpegang kepada konsep muafakat dalam parti dan akan memberi sokongan kepada mana-mana calon yang mewakili PH.

Terdahulu, Amirudin merasmikan program “Democracy Fest” yang bakal berlangsung selama lima hari bermula 13 Februari di pusat membeli-belah Publika di sini yang menjadi platform untuk membincangkan mengenai demokrasi daripada pelbagai perspektif.

Kerusi Dun Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU-14, Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan S. Arutchelvan (Parti Sosialis Malaysia), Johan Abdul Aziz (Barisan Nasional), dan Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas).

Artikel Berkaitan:

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac sebagai tarikh PRK Dun Semenyih manakala hari penamaan calon pada 16 Feb dan tarikh mengundi awal pada 26 Februari. - Bernama