X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja asing: Kementerian kaji permohonan pemain industri

Mohd Khairuddin (dua dari kanan) mendengar penerangan Ju Chai (kanan) mengenai pembuatan perabot ketika meninjau di kawasan kilang pada Majlis Lawatan Kerja di Syarikat HeveaPac Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, Seremban pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan mengkaji permohonan daripada pemain industri dalam sektor perkayuan, perladangan dan sarung tangan untuk dikecualikan daripada dasar pembekuan pengambilan pekerja asing yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini berikutan terdapat permohonan daripada pemain industri dalam sektor tersebut yang menghadapi kekurangan tenaga kerja pada masa ini.

“Saya telah meminta kementerian untuk membuat satu kertas kerja berhubung kepentingan sektor itu dalam negara.

“Kita akan melihat mana-mana ruang yang boleh kita bantu dan kita akan tengok ruang yang boleh kita beri pengecualian kepada sektor peladangan dan perabot tetapi bergantung kepada kelulusan kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke kilang perabot HeveaPac Sdn Bhd di sini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif syarikat itu, Peh Ju Chai.

Bagaimanapun, katanya pengambilan pekerja dalam kalangan rakyat tempatan menjadi keutamaan.

Pada Jun lepas, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pengambilan pekerja asing dalam semua sektor dibekukan hingga akhir tahun 2020 dengan peluang pekerjaan kini diutamakan kepada penduduk tempatan.

Sementara itu, Ju Chai berkata, syarikat itu yang telah beroperasi selama 20 tahun sejak 2001 kini memiliki seramai 2,200 pekerja dari Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

“Kami kekurangan pekerja dan cuba mendapatkan dalam kalangan penduduk tempatan. Kebanyakan mereka tidak berminat kerana ini adalah kerja yang kotor, berbahaya dan sukar (3D) malah, saya juga telah mencuba pekerja daripada kalangan orang asli dan Sarawak.

“Sektor perabot di Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dan kami berharap kerajaan dapat membantu kami menyediakan lebih ramai pekerja,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!