Darurat: Berlaku pemusatan kuasa tanpa proses semak, imbang

Tangkap layar kenyataan media Muda pada Selasa.
Tangkap layar kenyataan media Muda pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kesal dengan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan darurat kerana mendakwa akan berlaku pemusatan kuasa tanpa sebarang proses semak dan imbang yang telus.

Muda berkata, kerangka dan proses demokratik adalah pendekatan yang terbaik untuk sebuah kerajaan yang berlandaskan wakil rakyat dalam menghadapi suasana pandemik.

Katanya, Muda kekal konsisten tidak bersetuju dengan pengisytiharan darurat, sejak kali pertama ia dicadangkan.

"Pelaksanaan darurat dalam bentuk yang dijelaskan Perdana Menteri termasuk penggantungan Parlimen tidak akan membantu kepada usaha menangani kes-kes serta meratakan graf penularan Covid-19 sebaliknya akan hanya membawa kepada ketidakcekapan pentadbiran kerajaan dan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Dalam menghadapi pandemik yang meluas ke seluruh wilayah negara, kuasa dan proses membuat keputusan perlu diagihkan ke setiap peringkat pentadbiran termasuk kerajaan tempatan, negeri dan Persekutuan supaya langkah yang lebih tepat dan jelas dapat diambil dan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa memperkenankan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan pelaksanaan PKP bersasar bermula Rabu membabitkan enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Menurut kenyataan itu, pada masa sama, kerajaan masih tidak lagi memperincikan garis panduan yang jelas untuk sektor-sektor kritikal seperti pendidikan dan sekolah, perniagaan dan ekonomi, perkhidmatan, pengangkutan dan perjalanan.

Artikel Berkaitan:

Muda berkata, mengambil kira faktor-faktor itu, pihaknya menggesa supaya garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan tersusun diumumkan dengan segera bagi semua sektor dan industri kritikal.

Jelasnya, bantuan kewangan dan kebajikan juga perlu diberi dan dilaksanakan serta-merta untuk membantu golongan-golongan yang akan terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Pemulihan (PKPP), PKP Bersyarat (PKPB) termasuklah bagi pekerja yang hilang pekerjaan serta majikan.

"Perlindungan moratorium menyeluruh juga perlu diberikan bermula hujung Januari.

"Kerajaan juga perlu menimbang semula pelaksanaan sesi Parlimen yang khusus dan pembentukan jawatankuasa rentas pelbagai parti untuk memastikan proses semak imbang yang saksama dalam usaha menghadapi pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi negara," katanya.

Katanya, kerajaan juga perlu membuat perkongsian maklumat dan data, serta penglibatan proses membuat keputusan merentas peringkat tempatan, negeri dan Persekutuan.

"Muda mengambil kedudukan bahawa pentadbiran demokratik dan telus serta kepimpinan yang cekap dan berkualiti adalah cara terbaik bagi memandu Malaysia keluar daripada setiap cabaran yang dihadapi sekarang demi kesejahteraan rakyat dan negara tercinta," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos

Perisytiharan darurat tidak boleh dicabar