Tujuh jalan di Petaling Jaya ditutup

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Tujuh jalan di daerah ini akan ditutup bermula tengah malam pada Rabu susulan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penutupan jalan ini bermula pada jam 12.01 tengah malam.

"Jalan yang terlibat adalah Jalan 4/56 Gasing Indah, Jalan Persiaran Mahogani, Jalan Persiaran Jati, Jalan Persiaran Sungai Buloh dan lampu isyarat PJU8/1 Damansara Perdana.

"Dua lagi laluan yang ditutup ialah Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP) susur keluar ke Mutiara Damansara/Damansara Perdana dan laluan masuk Tol Damansara ke Bayu Putri," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Justeru, pihaknya menasihatkan orang ramai agar terus berada di rumah serta mematuhi PKP agar jaringan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

Katanya, pihak Polis Petaling Jaya berharap kepada pengguna jalan raya khususnya agar sabar dan tabah dalam bersama menangani wabak pandemik ini.

Pada Isnin, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu ini hingga 26 Januari depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) juga untuk tempoh sama.