24 jam sekatan elak individu dari zon merah masuk Terengganu

Roslee Chik
Roslee Chik
A
A
A

HULU TERENGGANU- Polis Terengganu akan melakukan sekatan jalan raya 24 jam di lima pintu sempadan keluar dan masuk negeri sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula Rabu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, lima sekatan jalan raya itu ialah tiga di Kemaman dan dua di Besut adalah tetap bagi memastikan tiada individu dari zon merah melepasi masuk ke negeri ini.

"Di Kemaman, sekatan jalan raya akan diadakan di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Perasing, Paya Berenjut dan Tol Cheneh, manakala di Besut, sekatan jalan raya dilakukan di Kampung Pachakan dan Kampung Tok Saboh.

"Bagi kawasan Jerteh dan Bukit Yong, ia akan diambil alih Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan.

"Lebih 1,000 pegawai dan anggota akan digerakkan bagi memantau serta melakukan rondaan sepanjang PKPB ini termasuk di pasar raya, kawasan perumahan dan tempat awam.

"Penugasan kita bukan hanya di sekatan jalan raya tetapi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat ketika berada di tempat awam, " katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Hulu Terengganu pada Selasa.

Roslee berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan pihak kerajaan sepanjang PKPB.

Katanya, dalam tempoh berkenaan, hanya dua orang dibenarkan berada dalam satu kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Jika terdapat penumpang yang lebih di dalam satu kenderaan, kita akan meminta mereka berpatah balik selain pemakaian pelitup muka susulan peningkatan kes Covid-19 yang begitu ketara.

"Kita juga memfokuskan pemantauan dan rondaan di kawasan tumpuan awam bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya.