Rekod tertinggi 3,309 kes Covid-19 hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi positif Covid-19 apabila 3,309 kes dilaporkan pada Selasa menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini meningkat kepada 30,390 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, enam daripadanya merupakan kes import manakala selebihnya, 3,303 kes melibatkan penularan tempatan.

“Kes jangkitan baharu Covid-19 mencatatkan jumlah tertinggi apabila 3,309 kes dilaporkan hari ini dengan empat kematian. Jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia pula meningkat kepada 141,533 kes,” katanya dalam Twitter rasmi beliau pada Selasa.

Angka tertinggi kes harian Covid-19 sebelum ini adalah 3,027 kes yang dicatatkan pada 7 Januari 2021.

Bagi kes penularan tempatan, beliau memaklumkan 2,461 kes melibatkan warga tempatan dan 842 kes bukan warganegara.

Status terkini kes Covid-19 di Malaysia. - Sumber infografik daripada KKM
Status terkini kes Covid-19 di Malaysia. - Sumber infografik daripada KKM

Sementara itu, lebih 50 peratus kes baharu dilaporkan di tiga negeri yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 12.01 tengah malam ini iaitu Selangor yang mencatatkan 1,007 kes (30.4 peratus), Johor (442 kes - 13.4 peratus) dan Sabah (409 kes - 12.4 peratus).

Menerusi kenyataannya pada Selasa, Dr Noor Hisham berkata, di Selangor, sebanyak 825 kes dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak 439 kes (13.3 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan iaitu 192 kes, Kluster Tembok Choh (162 kes), Kluster Tembok Mempaga (70 kes), Kluster Tembok Gajah (tujuh kes), Kluster Pagar Siput (tiga kes), Kluster Telok Mas (tiga kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (dua kes),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiga daripada empat kes kematian dilaporkan pada Selasa adalah di Selangor dan satu lagi di Perak, dengan kesemua mangsa berumur antara 52 hingga 69 tahun menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat wabak itu meningkat kepada 559 kes.

Sehingga kini, terdapat 190 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 83 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Malaysia turut merekodkan 1,469 kes sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya sebanyak 110,584 kes (78.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Kes positif mengikut negeri. - Sumber infografik daripada KKM
Kes positif mengikut negeri. - Sumber infografik daripada KKM

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesan 11 kluster baharu, menjadikan jumlah kluster aktif kini 261 kluster, dengan 77 kluster melaporkan pertambahan kes pada Selasa.

Kluster baharu iaitu Kluster Jalan Manan di Selangor mencatatkan 83 kes; Kluster Persiaran Kuala (Selangor-44 kes); Kluster Udarama (Kuala Lumpur-21 kes); Kluster Iris (Kuala Lumpur-11 kes); Kluster Jalan Kiara (Kuala Lumpur-22 kes); Kluster Dialisis Batu (Kuala Lumpur- enam kes).

Selain itu, Kluster Bukit Sekubong (Sarawak-21 kes); Kluster Kampung Badak (Kelantan-39 kes); Kluster Taman Kesedar (Kelantan-14 kes); Kluster Dialisis Putra (Putrajaya-10 kes) dan Kluster Permint Harmoni (Terengganu-lapan kes).

"Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (192 kes), Kluster Teratai (176 kes), dan Kluster Tembok Choh (162 kes)," katanya.

Dalam pada itu sebanyak 344 kluster diisytiharkan tamat pada Selasa termasuk Kluster Atabara, Kluster Senu Setia, Kluster Bonggaya, Kluster Jernai, Kluster Pengkalan Barat, Kluster Tapak Bina Puteh Lama, Kluster Tapak Bina Jalan Bukit dan Kluster Sabaru. - Bernama