Azilah sukarela tunjuk lokasi Altantuya ditembak, diletupkan

Kes Altantuya Shaariibuu
Kes Altantuya Shaariibuu
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu bekas pegawai polis Azilah Hadri secara sukarela memberitahu pasukan penyiasat mengenai lokasi wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu ditembak dan diletupkan pada 2006.

Pegawai penyiasat polis Asisten Superintendan Koh Fei Cheow semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes saman sivil difailkan keluarga Altantuya, berkata beliau yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) telah diarahkan menyoal siasat Azilah pada 11 November 2006.

“Ketika disoal siasat, Azilah dengan sukarela telah membuat pendedahan lokasi perempuan Mongolia (Altantuya) diletupkan. Beliau tidak mengetahui nama jalan dan tempat namun memberitahu boleh menunjukkan jalan ke sana.

"Saya, Azilah dan dua lagi detektif kemudiannya menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda kira-kira pukul 5.20 petang dari IPKKL, masuk ke Plaza Tol Jalan Duta dan keluar di Plaza Tol Kota Damansara melalui jalan di Bukit Subang. Semasa perjalanan ke Puncak Perdana, Shah Alam, kami beberapa kali tersesat jalan kerana Azilah tidak cam laluan berkenaan," katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Fei Cheow yang kini bertugas di Bahagian Risikan Bukit Aman berkata ketika sampai di satu jalan di Puncak Perdana, Azilah mengarahkan supaya kenderaan membelok ke kanan ke arah kawasan yang mempunyai papan tanda Puncak Niaga, Empangan Tasik Subang.

"Jalan di kawasan itu teruk, tanah merah, hutan belukar dan sukar dimasuki. Azilah meminta kami berhenti. Beliau keluar dari kenderaan untuk melihat keadaan sekeliling, kemudian berjalan kira-kira 50 kaki dari kereta menuju ke sebuah kawasan lapang di atas bukit lebih kurang pukul 6.50 petang.

"Ketika di kawasan lapang itu, Azilah beritahu saya inilah tempatnya. Saya tanya ini tempat kejadian ke? Azilah jawab ini tempat perempuan Mongolia itu diletupkan. Saya kemudian membuat pemeriksaan dan menjumpai tulang serta rangka dipercayai manusia. Kawasan berkenaan juga ada kesan terbakar dan pokok yang telah layu," katanya.

Fei Cheow berkata Azilah membawa beliau ke satu kawasan lain kira-kira 30 kaki dari kawasan letupan berkenaan dan memberitahu lokasi itu adalah tempat wanita Mongolia terbabit ditembak.

Artikel Berkaitan:

Fei Cheow berkata beliau kemudiannya menghubungi pegawai atasannya untuk memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

Katanya kira-kira lima minit selepas memaklumkan perkara itu kepada pegawai atasannya, seorang pengawai penyiasat tiba bersama seorang lagi tertuduh, Sirul Azhar Umar, serta beberapa anggota polis.

Pada 4 Jun 2007, bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan isteri Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelakinya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga memfailkan saman RM100 juta dengan menamakan dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda serta kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga digugurkan daripada senarai plaintif selepas kematiannya beberapa tahun lepas.

Perbicaraan bersambung 27 Januari ini. - Bernama