PBAPP gesa siapkan segera projek pembesaran Empangan Mengkuang

Empangan Mengkuang telah dibuka namun masih terdapat dua fasa yang belum disiapkan dalam projek MDEP. - Gambar kecil: Jaseni Maidinsa
Empangan Mengkuang telah dibuka namun masih terdapat dua fasa yang belum disiapkan dalam projek MDEP. - Gambar kecil: Jaseni Maidinsa
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan mesti memenuhi kewajipannya menyiapkan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) seperti yang ditetapkan supaya ia dapat berfungsi sepenuhnya dengan efektif sebagai simpanan strategik kemarau di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, kerajaan Persekutuan secara rasmi bersetuju untuk melaksanakan dan membiayai MDEP sebagai syarat untuk penghijrahan Pulau Pinang ke Inisiatif Penstrukturan Semula Perkhidmatan Air Nasional (NWSRI).

Menurutnya, melalui projek itu ia memberi manfaat utama kepada 1.774 juta rakyat dan semua perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang, dan bukan kerajaan negeri atau PBAPP.

"Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia, Pulau Pinang menyumbang RM94.7 bilion kepada KDNK nasional pada tahun 2019.

"Tanpa bekalan air yang mencukupi pada musim kemarau tahunan, penduduk mungkin mengalami gangguan bekalan air malah perniagaan mungkin tidak berjalan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Jaseni berkata, disebabkan itu Pulau Pinang mungkin tidak dapat terus menyumbang berbilion-bilion ringgit dalam pembayaran cukai Persekutuan pada masa akan datang jika menghadapi krisis air pada musim kering yang berpanjangan.

Katanya, amat tidak bertanggungjawab bagi sesiapa pun untuk meminta kerajaan Persekutuan menghentikan projek MDEP kerana perselisihan politik.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan oleh sebuah portal pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Najib dilaporkan berkata agar jangan diteruskan projek Empangan Mengkuang selagi DAP atau bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak mengakui atau meminta maaf kerana mengelirukan orang Pulau Pinang selama bertahun-tahun dengan kisah dongeng telah mengurangkan hutang negeri sebanyak 95 peratus.

"Projek pembesaran Empangan Mengkuang ini telah bermula sejak 10 tahun yang lalu dan sehingga hari ini, kerajaan Persekutuan masih belum menyiapkan MDEP sepenuhnya.

"Bukti ini terletak pada kenyataan bahawa geran Persekutuan bernilai RM1.2 bilion belum digunakan sepenuhnya," katanya.

Pada 26 Oktober tahun lalu, kerajaan Persekutuan telah menyerahkan MDEP yang telah siap sebahagian kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang terdiri daripada Empangan Mengkuang yang diperbesarkan (Fasa 1) dan Rumah Pam Mak Sulong (Fasa 2A).

Gabungan kos kedua-dua fasa itu adalah RM670.5 juta manakala bagi fasa 2B dan Fasa 2C MDEP belum selesai dengan unjuran gabungan kos sebanyak RM180 juta.

Jaseni berkata, disebabkan perubahan spesifikasi oleh kerajaan Persekutuan, jumlah anggaran kos semua fasa MDEP sekarang adalah RM850.5 juta, iaitu kurang RM349.5 juta daripada geran Persekutuan asal RM1.2 bilion.

Oleh itu, katanya, kerajaan Persekutuan sedang mempertimbangkan peruntukan RM100 juta untuk pembinaan baraj baharu di Rantau Panjang, untuk menggantikan baraj yang telah beroperasi sejak 28 Jun 1973.

"Saya ingin menjelaskan bahawa Pulau Pinang tidak meminta lebih banyak dana Persekutuan untuk MDEP.

"Pulau Pinang meminta MDEP disiapkan secepat mungkin oleh kerajaan Persekutuan, seperti yang dipersetujui pada tahun 2011," katanya.