X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Peter Anthony diperintah hadir ke mahkamah pada 24 Februari

Datuk Peter Anthony. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Peter Anthony, yang sebelum ini diberi pengecualian kehadiran ke Mahkamah Sesyen di sini berhubung kes menggunakan dokumen palsu yang dihadapinya, diperintahkan hadir ke mahkamah pada sebutan kes akan datang pada 24 Februari depan.

Hakim Azura Alwi mengarahkan Peter, 50, hadir ke mahkamah pada tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak pembelaan supaya kehadiran tertuduh dikecualikan.

“Tertuduh perlu hadir ke mahkamah pada sebutan kes akan datang, kerana setakat ini tiada pengecualian kehadiran dimasukkan oleh pembelaan. Saya juga tidak mahu tertuduh menggunakan 'kemurahan hati' mahkamah supaya kehadirannya dikecualikan,” kata Wan Shaharuddin.

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu tidak hadir pada prosiding hari ini, selepas diberi pengecualian kehadiran daripada mahkamah.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memaklumkan bahawa peguam yang mewakili Peter, Mohamed Haniff Khatri Abdulla tidak dapat hadir pada prosiding hari ini, atas masalah kesihatan.

“Encik Haniff memberi kebenaran kepada saya untuk menyebut bagi pihaknya, dan saya memohon tarikh sebutan baharu pada 24 Februari ini,” katanya.

Wan Shaharuddin dalam pada itu berkata, permohonan untuk memindahkan kes tertuduh dari Mahkamah Sesyen di sini ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah, telah diterima oleh pihak pendakwaan dan kes ditetapkan untuk sebutan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini pada 19 Januari ini.

Peter didakwa sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 11 Julai 2014.

Dokumen itu didakwa mempunyai pernyataan palsu kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering, yang menyaksikan syarikat itu bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E), serta pihak UMS menyokong penuh permohonan syarikat tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja secara rundingan terus.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 17 Julai 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peter turut didakwa atas pertuduhan alternatif, iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat M&E di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Jun tahun lepas, Naib Presiden Parti Warisan Sabah itu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM8.75 juta berhubung pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), dan dia juga dihadapkan ke mahkamah sama pada 18 Jun tahun sama, atas pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah melibatkan pembelian tanah RISDA bernilai RM15,545,400. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!