Darurat: Kedudukan, tanggungjawab ahli Parlimen masih sama

Azhar Azizan Harun. - Foto Bernama
Azhar Azizan Harun. - Foto Bernama
A
A
A
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Hanya proses perundangan Dewan Rakyat tidak dapat dilaksanakan sepanjang tempoh darurat, sebaliknya kedudukan dan tanggungjawab semua ahli Parlimen sebagai wakil rakyat tetap sama seperti sedia kala dan berterusan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, penggantungan sesi Parlimen bukan bermakna Parlimen dibubarkan.

Oleh yang demikian menurutnya, semua aktiviti mana-mana kumpulan rentas parti Parlimen Malaysia serta semua jawatankuasa pilihan khas yang telah ditubuhkan boleh diteruskan.

"Kecuali aktiviti-aktiviti tersebut dikekang oleh apa-apa ordinan yang boleh digubal oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut kuasa-kuasa Seri Paduka Baginda dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, pihaknya mengambil maklum penubuhan jawatankuasa bebas dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akan mengesyorkan tempoh darurat kepada Seri Paduka Baginda.

"Melalui jawatankuasa bebas tersebut serta jawatankuasa pilihan khas, Parlimen akan terus menjalankan fungsinya dalam proses semak dan imbang, sebagai institusi unggul badan perundangan negara.

"Parlimen akan menunggu Ordinan Darurat yang akan digubal Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pengisytiharan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan Covid-19.

Seri Paduka Baginda memberi perkenan untuk pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos depan atau tarikh lebih awal, jika kes harian Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Artikel Berkaitan:


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya pula memberi jaminan pengisytiharan darurat bukan rampasan kuasa, sebaliknya Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sehingga tempoh kecemasan tamat.

ARTIKEL BERKAITAN Proklamasi darurat bukan rampasan kuasa tentera



Agong perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos