Polis bongkar stor, makmal proses dadah terbesar

Razarudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor pada Selasa.
Razarudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Polis Johor merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM125.8 juta di sekitar kawasan Johor Bahru menjadikannya rampasan dadah terbesar di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Razarudin Husin berkata, menerusi 16 serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada Sabtu dan Ahad lalu itu, seramai 15 suspek warga tempatan ditahan.

Katanya, sindiket penyeludupan dan pengedaran yang mula aktif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada awal tahun lalu menggunakan modus operandi dengan menyewa rumah untuk dijadikan stor penyimpanan dan makmal memproses dadah.

"Dalam serbuan ini, JSJN berjaya membongkar dua stor dadah dan dua makmal haram disyaki makmal pemprosesan dadah jenis erimin 5. Sindiket ini telah mula aktif menjalankan aktiviti penyeludupan dadah sejak awal tahun lepas.

Pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas di sekitar kawasan Johor Bahru, Johor pada Sabtu dan Ahad lepas.
Pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas di sekitar kawasan Johor Bahru, Johor pada Sabtu dan Ahad lepas.

"Antara dadah yang berjaya dirampas 72.61 kilogram (kg) syabu, 12.81kg serbuk ecstasy, 5.44kg ganja, 3,722,513 biji pil eramin 5, 397,905 biji pil ecstasy, 4 gram heroin, 28kg ketamin, 8.5kg jus manggo, 969.15kg serbuk disyaki dadah.

"Turut dirampas ialah 13 buah kereta mewah, sebuah motosikal jenis Kawasaki, wang tunai sebanyak RM2.28 juta, pelbagai jenis mata wang asing bernilai RM284,000, jongkong emas seberat 1kg, empat utas jam tangan jenama Rolex dan pelbagai jenis barang kemas serta mesin dan peralatan pemprosesan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Kereta mewah yang dirampas daripada sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang ditumpaskan menerusi serbuan di sekitar kawasan Johor Bahru, Johor pada Sabtu dan Ahad lepas.
Kereta mewah yang dirampas daripada sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang ditumpaskan menerusi serbuan di sekitar kawasan Johor Bahru, Johor pada Sabtu dan Ahad lepas.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Razarudin, hasil siasatan mendapati makmal dadah tersebut mampu menghasilkan 300,000 biji pil pelbagai jenis dadah dalam masa kurang daripada tiga hari dan dipasarkan di pasaran tempatan dan tidak menolak kemungkinan turut dieksport ke luar negara.

"Ketua sindiket berusia 30 tahun turut ditahan, manakala 15 suspek tempatan terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh wanita ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 Januari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil siasatan turut mendapati tiga daripada suspek yang ditahan positif dadah manakala tiga suspek mempunyai rekod bersabit dadah, senjata api dan ugutan jenayah," katanya.