Penjawat awam perlu beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta penjawat awam terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat yang terkesan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, perkhidmatan awam akan beroperasi bagi memberi khidmat kepada orang awam dan sokongan kepada sektor ekonomi.

“Penjawat awam perlu kekal fokus kepada tugas masing-masing dalam usaha kita mengekang penularan Covid-19 dan pada masa sama melaksanakan pelbagai program pemulihan semula ekonomi negara.

“Ordinan darurat ini hanya dilaksanakan untuk tingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam sahaja.

"Sektor ekonomi masih lagi berlangsung seperti biasa berdasarkan ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Adnan, langkah kerajaan mengisytiharkan Proklamasi Darurat perlu disambut baik oleh semua pihak dengan meletakkan rakyat sebagai titik persamaan untuk menolak sebarang perbezaan pendapat pada waktu ini.

Sementara itu, tambahnya, penjawat awam dan masyarakat dinasihati untuk tidak menyebarkan berita-berita palsu yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam serta menyukarkan pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas kawalan pandemik Covid-19 masing-masing.

“Cuepacs berharap semua pemimpin dan ahli politik di negara ini dapat memberikan kerjasama dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan. Elakkan daripada melakukan perkara yang boleh menimbulkan keresahan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Jadikan tempoh perintah darurat ini sebagai waktu untuk memberi khidmat kepada rakyat yang menghadapi kesukaran ekoran daripada pandemik Covid-19 ini dan pada masa sama, tidak kira pemimpin politik kerajaan atau pembangkang, jadikan rakyat sebagai keutamaan dalam membuat sebarang keputusan,” katanya.

Menerusi kenyataan itu juga, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan kunjungan panik ke premis-premis kerajaan kerana operasi setiap jabatan kerajaan masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP di kawasan masing-masing.