X

Kindly register in order to view this article
!

Pengumuman darurat terlalu drastik, terburu-buru: Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A

JOHOR BAHRU - Darurat yang diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai satu tindakan yang terlalu drastik dan dilihat terburu-buru.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rakyat melihat rancangan darurat ini tidak dilakukan dengan baik dan seharusnya Kabinet melakukan perbincangan awal.

"Saya lihat ia tidak berjaya diterjemah dengan baik. Jadi saya gesa kerajaan terus bentangkan rancangan untuk menghadapi darurat.

"Pertama, kerajaan haruslah memanggil blok pembangkang untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas bagi memastikan urus tadbir dan hala tuju negara akan bergerak dengan lancar serta stabil.

"Kerajaan harus bertindak adil dan saksama dengan pembangkang kerana darurat yang diisytiharkan secara rasmi ini bertujuan melawan wabak pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kedua katanya, kerajaan harus segera membentangkan rancangan untuk melindungi kebajikan ekonomi rakyat.

Menurutnya, walaupun perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya dibuat selama 14 hari dan tempoh itu juga dijangka dilanjutkan.

"Malah, pengisytiharan darurat sebentar tadi meyakinkan saya bahawa ia akan berlanjutan sehingga Ogos 2021," ujarnya.

Justeru katanya, kerajaan harus sediakan perlindungan moratorium secara menyeluruh kepada rakyat.

Begitu juga katanya, bantuan wang tunai harus segera diumumkan dan dilaksanakan sekurang-kurangnya bermula pada hujung Januari.

"Tidak ada alasan lagi untuk membiarkan rakyat tanpa perlindungan ekonomi oleh kerajaan," tegasnya.

Katanya, ketiga, walaupun pembangkang tidak mahu adakan Pilihan Raya Umum ke-15 kerana ketidaktentuan krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara, perkara itu hanya boleh dicapai dengan mengisytiharkan darurat.

Kerajaan katanya, seharusnya fokus serta segera laksanakan pelan untuk menghadapi krisis dan darurat bukan jawapan yang tepat.

"Namun, ia sudah diisytihar pada pagi tadi. Maka, kerajaan harus segera terima gesaan dan panggil pembangkang untuk terlibat sama dalam urus tadbir negara," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos

Perisytiharan darurat tidak boleh dicabar


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!