X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir di Sabah bertambah buruk, 1,815 mangsa dipindahkan

Mangsa banjir dipindahkan di PPS yang dibuka sejak Isnin.
A
A

KOTA KINABALU - Banjir di Sabah semakin buruk apabila 1,815 mangsa daripada 562 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 1 tengah hari pada Selasa.

Menurut laporan yang dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kudat mencatat mangsa banjir tertinggi iaitu dengan 1,037 mangsa ditempatkan tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Datu Hj Mustapha, SK Sikuati dan Rumah Rehat Lama Karakit.

Di Kota Marudu pula, seramai 701 ditempatkan di empat PPS iaitu di Dewan Kampung Asin-Asin, SK Taritipan, SK Adventr Damai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek.

Selain itu, seramai 68 mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Kampung Kusilad dan SK Pekan II.

Semua mangsa terbabit dipindahkan ke PPS sejak Isnin berikutan rumah mereka di 90 kampung membabitkan tiga daerah berkenaan dinaiki air akibat hujan lebat berterusan pada malam Ahad lalu.

Sementara itu, di PPS Dewan Datuk Sri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort sudah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir selepas beberapa kampung di kawasan Membakut dinaiki air.

Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun ketika dihubungi Sinar Harian berkata, PPS terbabit sudah dibuka sepenuhnya dan dalam proses melakukan pemindahan mangsa dari beberapa kampung di Membakut.

"Sebarang perkembangan terkini akan dikemas kini selepas semua mangsa sudah dipindahkan ke PPS termasuk kampung yang terlibat," katanya.

Diminta mengulas jika banjir berterusan sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa tengah malam ini, beliau berkata proses memindahkan mangsa berjalan seperti biasa.

"Kita tetap ketatkan prosedur operasi standard (SOP), tiada masalah dan ia (proses mangsa dipindahkan) berjalan seperti biasa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!