X

Kindly register in order to view this article
!

Pegawai ATM didakwa terima wang hasil aktiviti haram

Azman (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.
A
A

IPOH - Seorang pegawai kanan tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM114,000, lima tahun lalu.

Tertuduh, Azman Mohamad Yasin, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa menerima wang berjumlah RM114,000 melalui cek milik Mohamad Adkaa Solahuddin yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank cawangan Bidor pada 25 Oktober 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin kemudiannya memaklumkan bahawa pihaknya diarah supaya jaminan terdahulu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu RM80,000 dengan seorang penjamin digunapakai untuk kes ini.

Pendakwaan turut memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dengan kes yang dihadapi tertuduh di sana.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Amiraizat Abdul Rani tidak membantah atas permohonan yang dikemukakan itu.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Indra Nehru membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Sinar Harian pada 23 November lalu melaporkan Seorang pegawai kanan dan seorang bekas komandan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan dana Tabung Kebajikan Akademi Latihan Ketenteraan berjumlah RM920,000 pada 2016 lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai kanan, bekas komandan tentera tak mengaku pecah amanah


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!