X

Kindly register in order to view this article
!

TNB prihatin nasib mangsa banjir

PPS di Pahang yang terjejas akibat banjir menerima bekalan elektrik yang disediakan TNB menggunakan jana kuasa bergerak.
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited memberi perkhidmatan terbaik dengan membekalkan elektrik kepada mangsa banjir di 20 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang.

Pengurus Besar Bahagian Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad berkata, 20 PPS itu terletak di Temerloh, Maran, Jerantut dan Bera menerima bekalan elektrik daripada set jana kuasa mudah alih sehingga jam 2 petang pada Isnin.

Daripada jumlah itu, katanya, tiga set jana kuasa bergerak disediakan TNB, masing-masing satu di Temerloh dan dua di Jerantut.

“TNB terpaksa menutup pencawang elektrik yang di-naiki air demi keselamatan pengguna dan akan membukanya kembali apabila keadaan selamat.

“Meskipun terpaksa meredah banjir menggunakan bot, warga kerja TNB bertungkus lumus menghantar set jana kuasa mudah alih agar pusat pemindahan yang terjejas dapat menerima bekalan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Baderul berkata, PPS yang tidak terhalang laluannya akibat banjir mendapat bekalan melalui set jana kuasa bergerak.

Set jana kuasa bergerak yang disediakan TNB untuk membekalkan bekalan elektrik di PPS, Pahang.
Set jana kuasa bergerak yang disediakan TNB untuk membekalkan bekalan elektrik di PPS, Pahang.

“Setakat Isnin, terdapat sebanyak 20 set jana kuasa bergerak masih beroperasi yang menyalurkan bekalan di Pahang dan Johor, manakala 51 set berada dalam keadaan tunggu sedia susulan keadaan banjir semakin reda di Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Beliau juga berpuas hati kerana warga kerja TNB yang terlibat dalam pengurusan banjir menunjukkan dedikasi tinggi demi keselamatan dan keselesaan orang ramai.

“Seramai 270 warga kerja TNB Pahang diletakkan dalam keadaan 24 jam siap sedia.

“Pasukan tersebut turut mendapat bantuan daripada warga kerja TNB Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!