Kontroversi 'beg hitam nuklear' Trump

Seorang anggota tentera membawa beg hitam yang dipercayai mengandungi menu tentang serangan nuklear ketika mengiringi bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Rumah Putih, Washington pada 16 Mei 2016. - Foto AFP
Seorang anggota tentera membawa beg hitam yang dipercayai mengandungi menu tentang serangan nuklear ketika mengiringi bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Rumah Putih, Washington pada 16 Mei 2016. - Foto AFP
A
A
A

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump diperuntukkan kuasa dalam Perlembagaan negara itu bahawa hanya beliau seorang yang diberikan kuasa untuk melancarkan satu serangan nuklear dari AS.

Justeru, setiap kali Trump melakukan lawatan keluar dari Washington, beliau akan diiringi dengan seorang pembantu yang akan membawa sebuah beg hitam dikenali dalam pentadbiran AS sebagai 'bola sepak nuklear'.

Beg itu mengandungi menu arahan dan rancangan tentang serangan nuklear dari negara berkenaan.

Ia juga boleh digunakan untuk berkomunikasi dengan Pusat Pemerintah Ketenteraan di Jabatan Pertahanan AS atau lebih dikenali sebagai Pentagon yang mengawasi ancaman nuklear di seluruh dunia.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mempunyai kuasa dari segi Perlembagaan negara itu untuk mengarahkan serangan nuklear dilancarkan. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mempunyai kuasa dari segi Perlembagaan negara itu untuk mengarahkan serangan nuklear dilancarkan. - Foto AFP

Menurut Majalah Smithsonian, beg hitam itu didapati digunakan semasa AS dipimpin oleh Presiden ke-35, John F. Kennedy pada tahun 1961 dan semasa krisis peluru berpandu Cuba yang diperintah oleh komunis sekali gus mengancam Amerika pada tahun 1962.

Bagaimanapun, Presiden AS yang juga ketua komander negara itu pada kebiasaannya perlu berunding dengan ketua-ketua tentera sebagai contohnya, sama ada beliau mahu memusnahkan semua musuh-musuh Amerika atau mengehadkan serangan nuklear hanya ke Moscow atau Pyongyang atau Beijing.

Menurut bekas Setiausaha Pertahanan AS, Robert S. Namara, nama bola sepak nuklear diperoleh berdasarkan kepada rancangan awal nuklear yang mempunyai kod nama iaitu Dropkick.

Artikel Berkaitan:

Dropkick bermaksud tendang lantun dan ia memerlukan sebiji bola sepak bagi membolehkannya berfungsi dalam sukan bola sepak Amerika yang permainannya seperti ragbi.

Gambar beg seberat kira-kira 9.7 kilogram itu dirakamkan pada 10 Mei 1963 ketika seorang anggota tentera membawanya semasa Kennedy berkunjung ke negeri Massachusetts, lapor Yayasan Warisan Atom Amerika.

Satu gambar turut menunjukkan beg itu dibawa ke Red Square, Moscow pada Mei 1988 ketika Presiden AS ke-40, Ronald Reagan melawat Kesatuan Soviet yang kini dikenali sebagai Rusia.

Rakan sejawat Reagan dari Kesatuan Soviet ketika itu, Mikhail Gorbachev didapati diiringi oleh seorang anggota tentera yang membawa sebuah beg sama seperti beg bola sepak nuklear Amerika.

Menurut Yayasan Warisan Atom, beg berkenaan tidak mempunyai satu butang senjata nuklear.

Sebaliknya, Presiden hanya boleh mengarahkan satu serangan nuklear yang akan dilakukan oleh pihak tentera dengan menggunakan beg tersebut.

Menurut portal berita CNN, beg itu mengandungi sebuah buku hitam tentang satu pilihan serangan nuklear, sebuah kad plastik yang mengandungi kod untuk mengesahkan identiti Presiden, satu senarai kubu bawah tanah bagi membolehkan Presiden bersembunyi dan arahan penggunaan Sistem Penyiaran Kecemasan.

Ia umpama sebuah alat mudah alih dalam sistem pertahanan AS.

Gambar fail menunjukkan peluru berpandu nuklaer Titan II yang tidak lagi aktif di Muzium Peluru BerpanduTitan, Green Valley, Arizona. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan peluru berpandu nuklaer Titan II yang tidak lagi aktif di Muzium Peluru BerpanduTitan, Green Valley, Arizona. - Foto AFP

Bagaimanapun, Presiden AS hanya boleh menggunakan kuasanya bagi mengarahkan satu serangan nuklear dengan menggunakan kod pada kad plastik tersebut.

Kad plastik itu dikenali sebagai 'biscuit' atau biskut.

Selepas Reagan dirawat di Hospital Universiti George Washington pada tahun 1981 kerana cedera akibat satu percubaan membunuhnya, kad plastik tersebut telah dibuang ke dalam tong sampah disebabkan ia berada dalam poket pakaian ketika staf-staf hospital menanggalkannya.

Namun, pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berjaya menemui kad berkenaan dan memulangkannya.

Tetapi insiden yang paling terkenal dalam sejarah negara berkenaan ialah apabila Presiden AS ke-42, Bill Clinton dilaporkan kehilangan kad tersebut selama beberapa bulan dan bekas Pengerusi Ketua-Ketua Turus Tentera AS, Jeneral Hugh Shelton berkata, ia kemudian diganti dengan kad baharu.

Pada tahun 2017 pula ketika Trump melawat China, para pegawai negara itu cuba untuk menghalang seorang anggota tentera AS yang membawa beg hitam tersebut daripada memasuki sebuah auditorium di Beijing namun situasi itu akhirnya berjaya diselesaikan.

Trump juga dilaporkan berada di sebuah hospital tentera dekat Washington D.C bersama beg hitam nuklear itu ketika beliau dirawat akibat dijangkiti koronavirus (Covid-19) pada tahun lalu.

Justeru, usaha Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi yang mahu supaya kad nuklear itu tidak disimpan oleh Trump kerana menganggap dirinya tidak berupaya menjalankan tugas sebagai Presiden mungkin tidak akan berjaya.

Pelosi dilaporkan menghubungi Pengerusi Ketua-Ketua Turus Tentera AS, Mark Miley pada Jumaat lalu untuk membincangkan cara-cara bagi menggelakkan Trump daripada melancarkan satu serangan nuklear selepas keupayaannya mentadbir Amerika dipersoalkan ekoran kejadian rusuhan para penyokongnya di bangunan Capitol, Washington D.C pada Rabu lepas.

Namun, Speaker Dewan Perwakilan itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk cuba menarik balik kod nuklear yang telah diperoleh oleh Trump.

Justeru, menurut portal berita Vox, sama ada Pelosi suka atau tidak, Trump sebenarnya mempunyai autoriti untuk mengarahkan satu serangan nuklear dilancarkan ketika beliau masih memegang jawatan Presiden. - Agensi