Menangani isu murid menyendiri kerana Covid

No Image Caption
A
A
A

TARIKH 20 Januari merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu ramai.

Adakah pada tarikh itu sekolah akan dibuka seperti dirancang atau secara berperingkat atau hanya akan dibuka sepenuhnya apabila keadaan sudah benar-benar reda?

Itu adalah antara persoalan bermain dalam fikiran ramai ibu bapa terutama bagi murid Tahun Satu dan Dua yang baru mahu mengenali angka dan abjad tetapi sudah bercuti panjang. Diperkenalkan pula belajar melalui online.

Mungkin ada yang boleh fokus, tidak mustahil juga lebih ramai yang ketinggalan atas pelbagai faktor.

Apabila ibu bapa sudah mula bekerja, lain pula cerita dan akhirnya lama kelamaan, masa anak-anak terbiar bermain gajet dan YouTube. Buku hanya dibaca apabila disuruh.

Selain itu, bebanan juga pastinya terhadap pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting. Belajar sendiri di rumah tanpa guru di depan mata, hanya bersemuka di alam maya dan mungkin juga dalam keadaan tidak tenang bukanlah perkara mudah.

Hanya mereka yang benar-benar mahu mencapai kejayaan akan memperoleh keputusan cemerlang.

Kebiasaannya yang fokus itu adalah pelajar perempuan. Pelajar lelaki juga ada, namun tidak mustahil sudah ada yang mengambil lewa tentang peperiksaan.

Artikel Berkaitan:

Apatah lagi jika ada kalangan mereka yang sudah mula membuat kerja ‘part time’ dan seronok memperoleh wang hasil titik peluh sendiri.

Belajar melalui online antara solusi buat masa ini, namun satu persoalan yang boleh difikirkan bersama adalah mungkinkah secara tidak sengaja kita juga sebenarnya telah membentuk generasi introvert iaitu generasi yang lebih suka menyendiri, buat kerja sendiri dan tidak pandai dalam pergaulan.

Kesilapan

Kisah itu berlaku kepada diri penulis. Mungkin kesilapan penulis kerana tidak menerangkan dengan betul. Penulis anggap ia sebagai pengajaran dan ingin kongsikan bersama. Ketika permulaan Covid-19, penulis kerap menerangkan kepada anak bahayanya wabak tersebut.

Media massa juga banyak berkempen mengenai penjagaan kebersihan, memakai pelitup muka, sentiasa bersihkan tangan, elakkan tempat sesak dan penjarakkan sosial.

Ketika sesi persekolahan dibuka semula selepas keadaan kembali reda, penulis terangkan bahawa wabak itu masih ada, jadi tetap perlu berhati-hati.

Di sekolah sentiasa pakai pelitup muka, basuh tangan, jaga jarak dan jangan bersentuhan dengan sesiapa pun. Jauhkan diri dari tempat sesak.

Ketika mengambil kad laporan persekolahan akhir tahun, antara komen guru kelas mengenai anak saya ialah dia menjadi pendiam, tidak bercampur dengan rakan sekelas dan lebih suka buat kerja sendiri.

Terus saya tersentak dan teringat mengenai pesanan-pesanan ketika di sekolah.

Ya, tanpa saya sedar saya telah membina sifat introvert dalam dirinya. Murid yang lebih suka buat kerja sendiri, pendiam dan mengasingkan diri serta banyak menghabiskan masa di alam maya belajar secara online.

Saya yakin pasti ada ibu bapa yang turut menerangkan hal yang sama kepada anak secara asas tanpa kita ketahui bagaimana penerimaan mereka.

Pun begitu, masih belum terlambat untuk kita ubah ayat dan terangkan secara lebih terperinci seperti sentiasa memakai pelitup muka apabila berbual dengan rakan, bukan tak boleh bercakap langsung tetapi pastikan sentiasa memakai pelitup muka.

Jarak satu meter apabila bersama rakan, masih boleh berkawan cuma jaga jarak. Tidak perlu rapat-rapat. Tidak perlu bersentuhan dengan rakan-rakan atau sesiapa.

Ketika di sekolah, elak memegang orang lain atau dipegang. Boleh berkawan seperti biasa cuma tidak perlu bersentuhan. Sentiasa basuh tangan dan jaga kebersihan bersama rakan-rakan. Ajak rakan-rakan sentiasa basuh tangan bersama-sama.

Selain itu, boleh terapkan kata-kata yang positif seperti pergilah ke sekolah dan belajar seperti biasa dengan penuh semangat.

Sentiasa aktifkan diri di dalam kelas, dan berkawanlah seperti biasa. Lakukan seperti sebelum munculnya wabak Covid-19 cuma kali ini dengan normal baharu.

Bukan saya katakan bahawa introvert tidak pandai tetapi sebagai murid, kita perlu bimbing mereka menjadi orang yang lebih terbuka dan aktif dalam segala lapangan.

*Meen Tahrin ialah Editor Lifestyle Sinar Harian