Penjawat awam antara ditahan judi laga ayam

Mazuki (dua dari, kanan) menunjukkan ayam sabung yang berjaya dirampas hasil serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Changkat Lobak, Alor Pongsu pada Ahad.
Mazuki (dua dari, kanan) menunjukkan ayam sabung yang berjaya dirampas hasil serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Changkat Lobak, Alor Pongsu pada Ahad.
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang penjawat awam antara 31 lelaki yang ditahan selepas terbabit dalam aktiviti perjudian laga ayam di sebuah ladang kelapa sawit di Changkat Lobak, Alor Pongsu di sini pada Ahad.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, polis turut merampas 32 ayam sabung termasuk lima yang telah mati, wang tunai berjumlah RM91,570 serta pelbagai peralatan yang digunakan bagi aktiviti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, semasa intipan dilakukan terdapat lebih 150 kaki judi berada di lokasi itu, namun hanya 31 individu berjaya ditahan manakala selebihnya berjaya meloloskan diri.

"Semua tangkapan berusia antara 27 hingga 68 tahun bersama barangan kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan lanjut.

"Semua mereka yang ditahan adalah warganegara, namun bukan penduduk tempatan dan seorang daripadanya merupakan kakitangan awam," katanya pada sidang akhbar di IPD Kerian di sini pada Isnin.

Mazuki (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dalam serbuan aktiviti perjudian sabung ayam di sebuah ladang kelapa sawit di Changkat Lobak, Alor Pongsu pada Ahad.
Mazuki (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dalam serbuan aktiviti perjudian sabung ayam di sebuah ladang kelapa sawit di Changkat Lobak, Alor Pongsu pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, aktiviti judi laga ayam itu dianjurkan pihak luar dan dipercayai aktif sejak November lalu dengan lokasi berubah-ubah bagi mengelak dikesan polis.

Katanya, kumpulan itu juga kerap menjadikan ladang kelapa sawit yang jauh dari jalan utama dan tidak diketahui pemiliknya sebagai gelanggang sabung ayam.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah lama memantau kegiatan ini dan hasil penyamaran dibuat, kegiatan yang dilakukan dalam skala besar ini berjaya dibongkar," katanya.

Tambah Mazuki, semua suspek ditahan reman sehingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952 dan Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.