Hanya darurat untuk elak PRN Sarawak, kata pemerhati politik

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu diadakan apabila tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada tamat pada Jun.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu diadakan apabila tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada tamat pada Jun.
A
A
A

SHAH ALAM – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu diadakan sebelum tempoh hayat Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada Jun ini sekiranya kerajaan sedia ada tidak mahu kehilangan kesahan.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ia bergantung kepada bila DUN Sarawak dibubarkan oleh Yang di-Pertua Negeri.

“Perundangan mengenai PRN sama seperti Pilihan Raya Umum (PRU). Bila tempoh hampir tamat selepas PRN yang lepas, maka persiapan untuk PRN perlu dilakukan.

“Jadi PRN Sarawak perlu diadakan sebelum tamat tempoh DUN Sarawak dan jika tidak dilangsungkan, kerajaan sedia ada hilang kesahan. Dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri amat jelas mengenai perkara itu.

“Atau jika tidak dibubar, maka pasti akan terbubar sendirinya pada Jun 2021. PRN perlu dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal

Beliau mengulas sama ada tempoh PRN Sarawak boleh dilanjutkan sekiranya Covid-19 tidak dapat dikawal.

Bagaimanapun katanya, PRN Sarawak boleh ditangguhkan sekiranya mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sehingga pandemik Covid-19 reda.

Artikel Berkaitan:

“Perisytiharan darurat perlu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong untuk negeri Sarawak supaya satu ordinan darurat boleh diluluskan untuk menangguhkan PRN. Proses sama juga dilakukan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sabah dan Perak baru-baru ini.

“Jika ditangguhkan maka DUN Sarawak tidak dibubarkan dan ordinan darurat perlu jelas memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk berfungsi seperti biasa sehingga ia sesuai dibubarkan dan diadakan pilihan raya,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, dalam satu keadaan lagi boleh berlaku di mana ordinan darurat akan memberi kuasa kepada kerajaan negeri sedia ada sebagai caretaker government.

“Kerajaan negeri sedia akan menjalankan tugas dan kuasa sebagai caretaker government dan DUN tidak lagi bersidang dan PRN akan diadakan apabila masa yang sesuai.

“Satu lagi kebarangkalian boleh berlaku ialah DUN dibubarkan dan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak. Ordinan darurat diluluskan untuk tangguh pilihan raya dan kerajaan sekarang bertindak sebagai caretaker sehingga pilihan raya DUN dilaksanakan.

“Semua kebarangkalian itu tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.

“Namun apabila darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat, perdana menteri boleh membuat keputusan yang sesuai dan berpadanan.

Muhammad Fathi
Muhammad Fathi

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof pula berpandangan, persoalan sama ada wajar atau tidak mengadakan PRN Sarawak sebelum Jun ini bergantung kepada situasi jangkitan wabak Covid-19.

“Jika PRN itu perlu ditangguhkan, maka ia boleh dilaksanakan melalui Perkara 150 sebagaimana PRK Batu Sapi, Grik dan Bugaya.

“Namun, ia bukan keputusan untuk kepentingan politik. Keputusan dibuat perlu bersandarkan perkiraan dari sudut kesihatan awam, kemampuan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP), tahap pergerakan orang ramai waktu pengundian dan imbangan antara keperluan amalan demokrasi dan penjagaan nyawa atau kesihatan rakyat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan satu badan khas terdiri dari pihak berkuasa kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seumpamanya ditubuhkan sekiranya ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Sarawak.

“Mereka ini perlu mempunyai kepakaran untuk membuat syor kepada Kabinet yang kemudiannya, jika perlu mencadangkan pengisytiharan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Jika diikutkan pengalaman di PRN Sabah, saya merasakan ia wajar ditangguhkan dahulu, melainkan terbukti berlaku penurunan penularan wabak secara drastik dan konsisten. Tapi biarlah yang keputusan dibuat berdasarkan kajian oleh pakar-pakar,” katanya.