PM Israel gesa luluskan 800 unit baharu penempatan haram Yahudi

Netanyahu gesa segera luluskan projek peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. - Foto Agensi
Netanyahu gesa segera luluskan projek peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin mengarahkan pihak berkuasa untuk meluluskan pembinaan 800 unit penempatan haram Yahudi di Tebing Barat kira-kira sembilan hari sebelum penggal pentadbiran sekutu kuatnya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berakhir pada 20 Januari ini.

"Ia membabitkan projek peluasan di Judea dan Samaria," kata pejabat perdana menteri merujuk kepada daerah di bawah pentadbiran rejim Tel Aviv di wilayah tersebut.

Menurutnya, sebanyak 100 unit baharu akan dibina di kawasan penempatan haram Tal Menashe.

Ketika ini, Netanyahu yang bakal berdepan pilihan raya pusingan keempat dalam tempoh dua tahun pada 23 Mac depan sedang berusaha meraih sokongan untuk memastikan beliau kekal memegang kuasa walaupun menjadi Perdana Menteri pertama di Israel didakwa atas skandal rasuah.

Keputusan kaji selidik terbaharu menunjukkan pemimpin veteran tersebut bakal berdepan cabaran sengit calon propendatang haram, Gideon Saar yang keluar daripada Parti Likud pimpinan beliau pada bulan lalu untuk bertanding dalam pemilihan terbabit.

Sementara itu, bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden yang akan mengangkat sumpah jawatan pada minggu depan telah memaklumkan pentadbirannya akan mengembalikan dasar AS yang menolak langkah peluasan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.

Langkah itu dibuat selepas pendahulunya menerusi deklarasi diumumkan Setiausaha Negara, Mike Pompeo pada tahun 2019 menyatakan pendirian kontroversi Washington yang kononnya tidak lagi menganggap penempatan haram Yahudi sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Pada November lalu, Pompeo juga menjadi diplomat kanan AS pertama mengadakan lawatan ke kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki sejak Perang Enam Hari pada 1967.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, terdapat kira-kira 450,000 pendatang Yahudi yang tinggal di Tebing Barat yang turut didiami kira-kira 2.8 juta penduduk Palestin. - AFP