Tiada alasan tidak buru perusuh serang Adib

Shahrul Nasrun Kamaruddin
A
A

SHAH ALAM - Polis tidak boleh mengemukakan alasan gagal memberkas perusuh yang menyebabkan kecederaan terhadap anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut Exco Pemuda Umno, Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, ini kerana ramai saksi yang menyaksikan kejadian yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 itu, semalam.

Katanya, ini termasuklah saksi yang menyelamatkan Mohammad Adib dan menghantarnya ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya sejurus kejadian tersebut.

“Bagaimana polis nak siasat dan kesan individu atau kumpulan bertanggungjawab terserah kebijaksanaan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Jangan kata polis tiada kemampuan siasat atau kesan pihak bertanggungjawab kerana ramai saksi yang selamatkan Muhammad Adib semasa kejadian,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Adib ditarik dari jentera ketika pasukan berundur]

[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: PDRM tubuh pasukan khas]

Dalam kejadian itu, Mohammad Adib dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid menjelaskan, dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) termasuk van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib diserang dengan balingan batu dan objek lain menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin serta badan kenderaan itu.

Dalam situasi panik untuk berundur, mangsa telah ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.

“Bagi saya, tiada maaf kerana kes sumbat anak kucing dalam mesin basuh pun si pelaku dijatuhi hukuman penjara, apa ingat Muhammad Adib itu anak ayam?

“Bagi membela dan demi keadilan untuk Muhammad Adib, polis kena segera jalankan siasatan terperinci dan pastikan individu bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” kata Shahrul Nasrun.

Ketika ini, Mohammad Adib sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).