Cuepacs jamin perkhidmatan awam berjalan seperti biasa

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memberi jaminan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya yakin konsep bekerja dari rumah (DBR) yang telah diaplikasikan sejak Mac tahun lalu tidak akan melumpuhkan sektor perkhidmatan negara dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri.

“Semua penjawat awam kebanyakannya sudah memahami dan bersedia melaksanakan tugasan berdasarkan konsep BDR ini.

“Bagi negeri yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), arahan bekerja di pejabat dan BDR adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Penjawat awam perlu terus fokus dalam melaksanakan tugas demi membantu rakyat dalam menghadapi waktu sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perlaksaan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah yang akan berkuatkuasa Rabu.

Selain itu, PKPB akan dilaksanakan ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala Perlis dan Sarawak pula akan dikenakan PKPP bagi tempoh yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP 2.0 libatkan enam negeri mulai 13 Januari

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Adnan berkata, Cuepacs meminta semua ketua jabatan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan dalam mengatur tugas kakitangan masing-masing.

Katanya, setiap arahan dikeluarkan perlulah dibuat dengan berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan supaya tidak risikokan keselamatan dan kesihatan penjawat awam yang bertugas di pejabat ataupun di lapangan.

“Orang ramai juga diharap tidak panik dengan situasi semasa pelaksanaan PKP ini dan sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan jika perlu berurusan di pejabat kerajaan.

“Cuepacs berharap semua rakyat Malaysia dapat terus bersama dan berdoa agar situasi yang melanda negara ketika ini dapat pulih dengan cepat,” katanya.