Beri tempoh 24 jam

Nancy Pelosi
Nancy Pelosi
A
A
A

WASHINGTON - Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi pada Ahad menegaskan dewan terbabit akan meneruskan tindakan untuk memecat Presiden Donald Trump yang penggal pentadbirannya di Rumah Putih masih lagi berbaki kira-kira sembilan hari.

Pelosi membuat pengumuman itu menerusi surat dihantar kepada anggota Dewan Perwakilan dan menyifatkan langkah itu sebagai usaha untuk melindungi Perlembagaan dan demokrasi AS yang tercalar dek hasutan bilionair hartanah terbabit hingga menyaksikan rusuhan berlaku di Capitol pada minggu lalu.

“Kita akan bertindak dengan segera kerana Presiden sudah menjadi ancaman kepada negara ini,” tegasnya.

Menurutnya, Pemimpin Majoriti Dewan Perwakilan, Steny Hoyer akan meminta persetujuan sebulat suara untuk resolusi Pindaan ke-25 Perlembagaan AS sebelum proses pemecatan Trump dimulakan.

“Kami meminta Naib Presiden, Mike Pence untuk memberi maklum balas dalam tempoh 24 jam,” ujar Pelosi menerusi surat tersebut.

Terdahulu, sumber rapat dengan Pence menyatakan beliau tidak bercadang untuk menggunakan Pindaan ke-25 itu kerana bimbang ia akan memberi risiko lebih tinggi terhadap keselamatan negara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pence enggan guna perlembagaan pecat Trump

Detik-detik rusuhan di bangunan Capitol AS

Artikel Berkaitan:

Parti Demokrat dijangka memperkenalkan artikel pemecatan tersebut sebelum proses undian diadakan secepat mungkin pada Selasa.

Difahamkan, strategi mereka adalah untuk menangguhkan perbicaraan kes berhubung pemecatan Trump di Senat kepada tempoh 100 hari bagi membolehkan bakal Presiden AS ke-46, Joe Biden memberi fokus pada keutamaan lain sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari ini.

Sementara itu, Senator Republikan di Pennsylvania, Pat Toomey menyertai rakan partinya, Senator Lisa Murkowski di Alaska mendesak Trump meletak jawatan dengan segera.

Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 25 keganasan domestik telah difailkan berhubung rusuhan ganas dilancarkan penyokong Trump hingga meragut lima nyawa termasuk seorang anggota keselamatan di Capitol.

Setiausaha Tentera AS, Ryan McCarthy memaklumkan Pentagon mengambil serius terhadap maklumat yang diterima berhubung kemungkinan ancaman serangan ganas untuk tempoh beberapa hari akan datang termasuk ketika majlis pelantikan Biden.

Jelasnya, Pentagon telah bekerjasama dengan penguat kuasa undang-undang persekutuan dan tempatan untuk menyelaraskan persediaan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan dua lagi penyokong Trump, Larry Rendell Brock dari Texas dan Eric Gavalek Munchel dari Tennessee yang berdepan tuduhan menceroboh Capitol selepas gambar memaparkan gelagat mereka menjadi tular. - Agensi

INFO

Apakah Pindaan ke-25?

Ia adalah sebahagian daripada Perlembagaan AS yang ditetapkan pada 1967, empat tahun selepas Presiden ke-35 AS, John F Kennedy maut ditembak. Pindaan itu membolehkan pemindahan kuasa kepada Naib Presiden jika Presiden tidak berupaya menjalankan tugas atau meninggal dunia.

Pernahkah ia digunakan sebelum ini?

Ya. Pindaan itu pernah digunakan secara sukarela ketika Presiden menjalani prosedur perubatan. Pada 2002, Presiden ke-43 AS, George W Bush pernah memindahkan kuasa secara sementara kepada Naib Presiden, Dick Cheney ketika beliau menjalani prosedur kolonoskopi. Ia tidak pernah digunakan untuk menyingkirkan Presiden AS yang dianggap tidak layak mentadbir Rumah Putih.