Umno Bahagian perlu gerakkan kerjasama dengan Pas

Datuk Ir Hasni Mohammad
Datuk Ir Hasni Mohammad
A
A
A

PONTIAN - Usaha Umno bekerjasama dengan Pas bukan sekadar di peringkat kepimpinan Pusat tetapi turut digerakkan di peringkat Bahagian Umno di Johor.

Pengerusinya, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerjasama Umno Bahagian dengan pimpinan Pas di kawasan akan memperkukuhkan hubungan dua parti itu dalam usaha menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

“Bukan hanya untuk berdepan PRK sahaja, tetapi kerjasama ini perlu diteruskan di Bahagian.

“Umno dan Pas saling bantu membantu serta memainkan peranan yang merentasi kepentingan parti masing-masing,” katanya selepas merasmikan taklimat persidangan mesyuarat tahunan Wanita Umno Bahagian Pontian, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Wanita Umno Bahagian Pontian Hasrunizah Hassan.

Jelas Ir Hasni, kerjasama yang dijalin di antara dua parti ini semakin menyerlah dan akan dibawa semasa menghadapi PRK Dun Semenyih.

“Bila cakap soal agama ianya pasti merentasi parti. Bila tengok PRK Cameron Highlands, kerjasama itu semakin mantap, itulah semangat yang akan dibawa ke Semenyih,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama kedua-dua parti ini akan kekal demi agama dan bangsa Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama Umno dan Pas bukan sejak kita kalah PRU14 lalu, tetapi usaha ini pernah dilakukan sejak zaman Tun Abdul Razak. Ketika itu ada naik turunnya.

“Kita berharap ia terus berkekalan walaupun ada tuduhan atau sindiran ke atas Umno dibuat oleh sesetengah pihak yang mula bimbang dengan hubungan Umno dan Pas ketika ini,” katanya yang juga ADUN Benut.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berharap semua cawangan Umno di Johor dapat dapat mengadakan mesyuarat mereka yang bermula dari 14 Februari hingga 30 April depan sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Tertinggi ( MT )

Katanya, walaupun pelbagai cabaran dan halangan yang terpaksa dilalui oleh Umno ketika ini, termasuklah parti itu akan ‘ditalkinkan ‘ tetapi tidak menggugat kesetiaan ahli Umno kepada parti.