Pertemuan keluarga punca kluster baharu di Terengganu

Kluster Palut iaitu kluster terbaharu di Terengganu yang didaftarkan pada 9 Januari lalu berpunca daripada pertemuan ahli keluarga melibatkan kawasan zon merah. Gambar hiasan
Kluster Palut iaitu kluster terbaharu di Terengganu yang didaftarkan pada 9 Januari lalu berpunca daripada pertemuan ahli keluarga melibatkan kawasan zon merah. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kluster Palut iaitu kluster terbaharu di Terengganu yang didaftarkan pada 9 Januari lalu berpunca daripada pertemuan ahli keluarga melibatkan kawasan zon merah.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes indeks merupakan seorang warga emas dari Dungun yang mempunyai sejarah ke negeri zon merah dan berjumpa dengan anak dari zon merah yang lain.

Katanya, warga emas terbabit didapati bergejala pada 22 Disember 2020 dan mendapat saringan di sebuah hospital swasta di Terengganu dan dikesan positif pada 2 Januari 2021.

"Apabila disiasat kes indeks ini mempunyai seramai 89 orang kontak rapat. Hasil daripada aktiviti kekeluargaan, beliau telah menjangkiti 10 orang kontak rapat melibatkan lima generasi pertama dan lima generasi kedua.

"10 ahli keluarga ini termasuk adik beradik, suami adik, menantu, sepupu, anak saudara dan ibu ayah menantu. Jadi, istilah Palut dalam dialek Terengganu juga difahamkan sebagai bergaul molek," katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Isnin.

Dalam pada itu, Nor Azimi turut menasihati orang ramai supaya mengutamakan aspek kesihatan terutama bagi mereka yang ingin ke kawasan zon merah untuk mengelak kemudaratan yang lebih besar.

"Bayangkan satu kes indeks membawa kepada 89 kontak rapat. Jika 10 kes indeks berkemungkinan kontak rapat mungkin akan mencecah 800 orang dan sudah pasti pusat kuarantin kita tidak mampu tampung jumlah yang ramai sekali gus dalam satu-satu masa.

"Justeru, kita nasihatkan supaya tangguh dahulu aktiviti kekeluargaan yang besar kerana sekarang bukan waktu yang sesuai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, berdasarkan laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Terengganu, negeri ini merekodkan pertambahan lapan kes sembuh dan 41 kes baharu Covid-19 pada Isnin menjadikan 162 kes Covid-19 aktif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 525 kes.

Kesemua 162 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu (HHT), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Marang dan PKRC ILKKM Kuala Terengganu.