Tarik balik sokongan terhadap PN tindakan bijak, kata Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PORT DICKSON - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional(PN) adalah satu keputusan bijak.

Beliau berkata, kerajaan hari ini ternyata lemah kerana bukan sahaja tidak berupaya menangani masalah Covid-19 tetapi pelbagai masalah lain yang turut memberi kesan negatif kepada negara.

"Bagi saya ia satu keputusan yang bijak, jika kerajaan dah lemah dan tidak lagi berupaya tangani masalah Covid-19 dengan berkesan, ekonomi sekarang lembab, pelaburan tak sampai dan pendidikan semuanya kita hadapi masalah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Jazlan tarik sokongan kepada kerajaan PN

PN masih kerajaan sah: Takiyuddin

Tindakan Ahmad Jazlan, Ku Li tidak beri kesan pada PN

"Penyelesaian mereka (kerajaan) hanya beri upah dan kedudukan kepada tokoh politik. Jadi saya rasa ia perlu dihentikan dan perlu ada sistem keupayaan politik yang lebih stabil serta mampu menetapkan arah tuju negara dengan lebih berkesan," katanya mengulas berkenaan Ahli Parlimen UMNO yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson berkata, tindakan itu berupaya menyelamatkan negara dan bukannya menyelamatkan kedudukan seseorang.

Artikel Berkaitan:

Jelas Anwar, jika ada keputusan daripada Ahli Parlimen yang menyatakan cukup peluang diberikan kepada kepimpinan kerajaan yang ada hari ini, ia wajar diberi perhatian dan pertimbangan.

"Kalau ada keputusan kebijaksanaan Ahli Parlimen yang nyatakan cukup dengan peluang diberikan kepada pimpinan yang ada sekarang minta harus beralih supaya dapat memberi kekuatan dan kepimpinan baharu, saya rasa wajar diberi perhatian dan pertimbangan," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Penyerahan Pelitup Muka kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pada Isnin.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO dikatakan akan mengikut langkah Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang menarik balik sokongan kepada kerajaan PN.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula memaklumkan beliau akan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Beliau berkata, keputusan muktamad akan dimaklumkan pada sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur esok.