Arab Saudi umum projek bandar bebas karbon, The Line

NEOM yang merupakan bandar rentas sempadan di wilayah Tabuk di barat laut Saudi adalah tonggak utama rancangan Visi 2030 yang diumumkan Putera Mohammed Salman (gambar kecil) pada tahun 2017. - Foto Agensi
NEOM yang merupakan bandar rentas sempadan di wilayah Tabuk di barat laut Saudi adalah tonggak utama rancangan Visi 2030 yang diumumkan Putera Mohammed Salman (gambar kecil) pada tahun 2017. - Foto Agensi
A
A
A

AL-ULA - Putera Mahkota Arab Saudi pada Ahad mengumumkan rancangan membina bandar bebas karbon di NEOM yang merupakan projek pembinaan pertama untuk zon perniagaan utama bertujuan mempelbagaikan ekonomi negara pengeksport minyak terbesar di dunia itu.

Putera Mohammed Salman (MBS) berkata, bandar digelar The Line itu akan meliputi kawasan seluas lebih 170 kilometer dan boleh menempatkan sejuta penduduk di bawah pembangunan bandar yang menggunakan 100 peratus sumber tenaga bersih.

"Kenapa kita perlu korbankan alam sekitar demi untuk sesuatu pembangunan? Kita perlu mengubah konsep kota konvensional kepada futuristik," ujar baginda.

Menurutnya, projek The Line dirancang di bawah persiapan selama tiga tahun dan infrastruktur itu akan menelan kos berjumlah AS$100 bilion (RM405 bilion) hingga AS$200 bilion (RM810 bilion).

"Tulang belakang pelaburan The Line akan disalurkan daripada sokongan berjumlah AS$500 bilion (RM2 trilion) kepada NEOM oleh kerajaan, Dana Pelaburan Awam (PIF) dan pelabur tempatan serta global selama lebih 10 tahun," jelasnya.

PIF adalah pelabur asas di NEOM yang membabitkan projek pembangunan berteknologi tinggi di kawasan seluas 26,500 kilometer persegi di Laut Merah yang akan menempatkan beberapa zon termasuk kawasan perindustrian dan logistik yang dijangka siap pada 2025.

Difahamkan, NEOM yang merupakan bandar rentas sempadan di wilayah Tabuk di barat laut Saudi adalah tonggak utama rancangan Visi 2030 yang diumumkan MBS pada tahun 2017 bertujuan untuk mengelakkan kebergantungan Saudi terhadap sumber minyak mentah.

Sementara itu, sumber kerajaan memaklumkan projek pembinaan itu akan bermula pada suku pertama 2021 dan NEOM dijangka menyumbang AS$48 bilion (RM194 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain menyediakan 380,000 peluang pekerjaan. - Agensi

Artikel Berkaitan: