Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya

Penduduk di Kampung Bukit Mentok, Kemaman ini mula membersihkan kediaman mereka.
Penduduk di Kampung Bukit Mentok, Kemaman ini mula membersihkan kediaman mereka.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gelombang banjir kelima yang melanda Terengganu sejak Ahad lalu pulih sepenuhnya apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup secara rasmi pada jam 2 petang Isnin.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, penutupan itu melibatkan lapan PPS terakhir iaitu tujuh di Dungun dan satu di Kemaman.

Menurutnya, kesemua mangsa banjir seramai 517 orang daripada 128 keluarga itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat sejak tengah hari tadi.

“Berdasarkan keadaan cuaca semasa, ada beberapa kawasan mendung dan ia menggambarkan gelombang kelima banjir yang melanda Terengganu sejak 3 Januari lalu telah berakhir.

“Bagaimanapun, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu akan sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa, terutamanya daripada segi kesiapsiagaan di peringkat negeri dan daerah memandangkan kita masih dalam tempoh monsun timur laut (MTL) yang dijangka berlarutan sehingga Mac ini.

“Jabatan Meteorologi Malaysia juga masih mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora, berkuat kuasa sehingga esok dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan kita dalam tempoh fenomena air pasang besar bermula semalam hingga Khamis ini.

“Jadi, kita nasihatkan semua penduduk terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko untuk sentiasa berjaga-jaga dan tidak menghampiri pantai sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Gelombang banjir kelima kali ini menyaksikan hampir 14,000 mangsa di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut dengan Kemaman yang paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu lebih 12,000 mangsa.

Artikel Berkaitan: