X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak perlu darurat, PKP 2.0 sudah memadai: Najib

Najib Tun Razak
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa perintah darurat yang akan dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang ini, merupakan keputusan berasaskan politik dan bukan untuk menangani wabak Covid-19.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah berbincang untuk mengeluarkan perintah darurat dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi.

Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada awal Mac sehingga April tahun lalu amat tegas termasuk mengarahkan anggota tentera mengawal keadaan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan mempersoalkan langkah lain berbanding PKP yang telah terbukti keberkesanannya itu.

"Apa lagi yang tak cukup untuk melawan wabak Covid-19 masa awal PKP yang dilaksanakan itu?

“Seperti dibuktikan pada PKP pertama tahun lepas, undang-undang Malaysia di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudah cukup kuat untuk segala kerja mengawal Covid tanpa pengisytiharan darurat dan menggantung Parlimen.

“Jika ianya benar bahawa permintaan darurat dibuat sekali lagi maka lagi ramai rakyat yang akan membina persepsi bahawa kerajaan hari hanya sekadar mahu mengekalkan kuasa politik mereka dan bukan atas kepentingan rakyat," katanya di laman Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu katanya, ramai juga yang akan membina persepsi bahawa kerajaan PN melonggarkan hampir semua prosedur operasi standard (SOP) termasuk menarik balik sekatan rentas negeri untuk sengaja menggadaikan kesihatan dan nyawa rakyat dengan membiarkan keadaan Covid menjadi teruk.

"(Ia) agar mereka ada peluang untuk meminta darurat sekali lagi setelah permintaan darurat pertama mereka telah gagal pada bulan Oktober lalu.

"Sebab itu, sekadar PKP 2.0 sudah memadai jika mahu dilaksanakan," kata bekas Perdana Menteri itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Proklamasi darurat solusi terbaik akhiri drama politik?

Terdahulu, The Star melaporkan sumber di Putrajaya memberitahu bahawa dengan krisis Covid-19, keperluan mengisytiharkan darurat telah dibincangkan dalam mesyuarat khas Kabinet pagi tadi.

Tiada perincian yang diperuntukkan oleh Kabinet tetapi Muhyiddin dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini.

Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong menolak pengisytiharan darurat kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya di negara ini atau mana-mana bahagian negara ini pada ketika itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas Yang di-Pertuan Agong memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu pada 25 Oktober lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!