Rakyat leka boleh cetus peningkatan jangkitan Covid-19

Dr Izani (kanan) menyampaikan watikah pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan bagi kawasan Tanah Merah, Jeli dan Machang di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah di Tanah Merah pada Isnin.
Dr Izani (kanan) menyampaikan watikah pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan bagi kawasan Tanah Merah, Jeli dan Machang di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah di Tanah Merah pada Isnin.
A
A
A

TANAH MERAH - Sikap rakyat yang semakin leka dan tidak cakna dengan bahaya Covid-19 boleh mengundang kepada peningkatan jumlah jangkitan pandemik berkenaan di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, kerajaan sudah menjangkakan jumlah tersebut akan bertambah dan kini ia di tahap amat membimbangkan.

"Masalah rakyat kita sendiri tidak cakna kepada penyakit ini dan tidak merasakan penyakit ini bahaya. Kita tengok masa banjir baru-baru ini, semua keluar bawa anak kecil berkerumun, pergi ke kedai, tempat peranginan dan semuanya.

"Sepatutnya perkara seperti ini tidak berlaku dan masing-masing kena ada kebimbangan. Walaupun kita sihat dan kuat, kita tetap boleh jadi pembawa kepada orang lain," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan bagi kawasan Tanah Merah, Jeli dan Machang di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah di sini.

Sementara itu, Izani berkata, kerjasama rakyat dan kerajaan adalah penting ketika ini supaya semua peraturan yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin kepada rakyat.

Ketika diminta mengulas mengenai operasi premis perniagaan yang dihadkan sehingga jam 9.30 malam, Izani berkata, walaupun ia mendapat pelbagai bantahan daripada masyarakat, namun apa yang diputuskan kerajaan itu adalah yang terbaik untuk membendung penularan wabak Covid-19.

"Banyak sebab kerajaan lakukan peraturan itu. Ia seharusnya diterima baik masyarakat memandangkan ia adalah untuk kebaikan bersama.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini adalah untuk menghentikan budaya rakyat berkerumun di kedai dan sebagainya. Kerajaan mahu rakyat duduk di rumah, orang yang meniaga tetap berniaga seperti biasa, tiada masalah, cuma tutup awal.

"Kita boleh kurangkan risiko jangkitan. Memang saya akui ramai marah. Buat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pun marah, tapi kerajaan terima sebab ini adalah yang terbaik untuk kita semua. Rakyat kena patuh, kena sama-sama bertanggungjawab, barulah ia berhasil," katanya.