Peneroka Felda jangan jual tanah

Rasman Ithnain (tiga dari kanan) menyampaikan geran hak milik lot tanah generasi kedua kepada seorang penerima di Felda Bukit Aping Barat Kota Tinggi pada Isnin.
Rasman Ithnain (tiga dari kanan) menyampaikan geran hak milik lot tanah generasi kedua kepada seorang penerima di Felda Bukit Aping Barat Kota Tinggi pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Peneroka Felda di negeri ini yang baharu menerima geran hak milik lot tanah dinasihatkan untuk tidak menjual tanah yang diperoleh sebaliknya membina rumah atau mengusahakannya.

Ahli Lembaga Pengarah Felda, Rasman Ithnain berkata, tanah yang diperoleh itu merupakan harta yang boleh diberi kepada anak dan cucu mereka pada masa depan.

Menurutnya, penyerahan geran hak milik terbaharu diberikan kepada generasi kedua peneroka iaitu 323 penerima di Felda Aping Barat dan 289 penerima di Felda Aping Timur dekat sini.

"Kepada semua penerima, jagalah tanah itu dengan sebaiknya serta jangan dijual, sebaliknya binalah rumah untuk anak dan cucu," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Lot Tanah Generasi Kedua Felda Bukit Aping Barat di sini pada Isnin.

Terdahulu, Rasman turut menyempurnakan penyampaian geran yang sama kepada peneroka Felda Bukit Aping Timur di dewan serbaguna Felda itu.

Pada masa sama, pihaknya berharap agar peneroka yang menetap di Felda lain dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili untuk bersabar menunggu giliran mereka bagi mendapatkan geran masing-masing.

"Untuk Felda lain dalam kawasan DUN Sedili harap bersabar, kita sedang menunggu tarikh yang sesuai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rasman berkata, pihaknya akan menggerakkan jentera bagi membantu masyarakat dalam kawasan berkenaan yang terjejas akibat bencana banjir dan Covid-19 ketika ini.

"Saya berharap semua pihak terlibat akan bersabar menghadapi dugaan ini dan kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu pihak memerlukan," katanya.