Liverpool belum sempurna tanpa Piala FA

Georginio Wijnaldum
Georginio Wijnaldum
A
A
A

PEMAIN tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum mengakui pencapaian membanggakan The Reds dalam beberapa musim kebelakangan ini tidak akan sempurna jika mereka gagal menjuarai Piala FA musim ini.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu menampilkan kebangkitan luar biasa dalam dua musim lalu dengan meraih beberapa trofi utama, antaranya Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala Super Eropah dan Piala Dunia Antara Kelab.

Namun, satu-satunya trofi yang belum dimenangi Liverpool dalam tempoh tersebut adalah Piala FA apabila langkah The Reds terhenti pada pusingan kelima musim lalu.

Justeru, Wijnaldum melaungkan amaran betapa kelab gergasi EPL itu sedang mencongak langkah untuk menjuarai Piala FA musim ini selepas mara ke pusingan keempat dengan menundukkan Aston Villa 4-1 pada Sabtu.

"Kami telah katakan pada awal musim bahawa kami mahu menjuarai semua trofi musim ini dan kami sedang berusaha untuk meraihnya.

"Namun, sudah tentu ia amat sukar untuk direalisasikan dengan tentangan banyak pasukan hebat selain jadual perlawanan yang sangat padat.

"Tetapi, saya rasa kami tampil bagus ketika menentang Villa dan semoga kami dapat terus konsisten kerana setiap kejuaraan yang disertai kami mahu jadi juara.

"Kami sudah meraih banyak gelaran, tetapi Piala FA masih belum berjaya. Jadi kami ingin melakukannya musim ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, kali terakhir Liverpool menjulang Piala FA adalah pada musim 2005/2006 selepas membenam West Ham 3-1 menerusi sepakan penalti pada aksi final.