Uncle Kentang 'salute' Iman hantar mayat Cina secara percuma

Chee Heng memuat naik status berhubung kesanggupan Iman menghantar mayat seorang lelaki Cina ke kampung halaman mendiang secara percuma.
Chee Heng memuat naik status berhubung kesanggupan Iman menghantar mayat seorang lelaki Cina ke kampung halaman mendiang secara percuma.
A
A
A

PUCHONG - 'Anak Melayu hebat!'. Inilah Malaysia...

Begitu luahan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng terhadap seorang pemuda Melayu yang dikatakan sanggup membantu mengurus penghantaran mayat seorang lelaki Cina meninggal dunia di Ipoh, Perak ke kampung halaman mendiang secara percuma.

Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, beliau dimaklumkan mendiang yang berusia 32 tahun bekerja sebagai tukang baiki mesin berasal dari Melaka.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai kematian tersebut, bapa mendiang datang dari Melaka untuk membuat pengecaman mayat anaknya di sebuah hospital di Perak.

“Bapa mendiang nak bawa mayat anaknya pulang ke Melaka, namun dimaklumkan kos penghantaran dikenakan RM1,600 atau jika tidak perlu bawa pulang menggunakan kenderaan sendiri. Bapa mendiang beritahu dia tak mampu bayar kos bawa pulang mayat anaknya itu.

“Anak Melayu dikenali dengan nama Iman yang terlibat dengan team urus jenazah di Ipoh dapat tahu kes ini. Dia tanya saya sama ada jika dia bantu akan langgar apa-apa hukuman dari segi urus mayat beragama Buddha? Saya kata 'no problem'. Dapatkan persetujuan ayah mendiang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Chee Heng berkata, beliau kini memahami fardu kifayah tidak tertakluk pada Islam sahaja malah katanya, ia lebih indah dan mempermudahkan mendiang.

Katanya, pemuda berkenaan akan menghantar mayat mendiang ke Puchong sebelum bertukar kenderaan dengannya dan kemudian dihantar ke kampung halaman mendiang di Melaka.

Artikel Berkaitan:

“Wahai anak Melayu... kau hebat... kau ku sanjung tinggi. Kau bantu tatkala poket ayah anak Cina kosong. Kau sungguh mulia.

“Kami akan tunggu di Puchong untuk bertukar van untuk kami sambung perjalanan bawa mendiang balik ke Melaka. Kamu dah boleh pulang ke Ipoh. Biar kami urus sampai ke Melaka pulak,” katanya yang turut memuat naik status berhubung perkara itu di Facebook miliknya pada Isnin.

Menurut Chee Heng, mendiang dijangka sampai di Puchong Utama pada jam 12.45 tengah hari Isnin.

“Inilah Malaysia. Kita sama-sama urus, kita buat van jenazah pun kerana kita tahu ada orang tak mampu,” katanya.