Tindakan lantik TPM daripada UMNO dah terlambat: Isham

Isham menyentuh mengenai tindakan Muhyiddin yang katakan akan melantik Timbalan Perdana Menteri dari UMNO dalam hantaran terbaharu di Facebooknya pada Isnin.
Isham menyentuh mengenai tindakan Muhyiddin yang katakan akan melantik Timbalan Perdana Menteri dari UMNO dalam hantaran terbaharu di Facebooknya pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan mahu melantik Timbalan Perdana Menteri dari UMNO disifatkan sudah pun terlambat dan tidak akan dapat memujuk parti itu untuk menyelamatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, disebabkan perkara itu, Muhyiddin dan Bersatu tidak ada banyak pilihan lagi selain terpaksa meletakkan jawatan.

Menurutnya, ia kerana mereka dilihat hanya fokus berpolitik untuk menyelamatkan diri namun keadaan ekonomi dan penularan Covid-19 semakin hari semakin buruk.

"Mereka telah gagal untuk mengekang kenaikan penularan Covid-19 dan gagal mengendalikan ekonomi ketika krisis.

"Dengan kuasa yang ada sebagai kerajaan, daripada membuat perkara-perkara terdesak yang memburukkan lagi keadaan dan membuat rakyat marah, buatlah perkara-perkara yang diminta oleh rakyat," katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebooknya pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN Ismail Sabri atau Hishammuddin jadi TPM?

Mengulas lanjut, Isham memberitahu, perkara itu adalah memudahkan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa pelbagai syarat yang menekan.

Katanya, apa yang diinginkan rakyat juga adalah perlanjutan moratorium pinjaman bank sehingga enam bulan lagi atau sehingga keadaan ekonomi dan Covid-19 beransur pulih serta rakyat kembali mendapat kerja atau boleh berniaga seperti sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat juga mahu kerajaan mempercepatkan penyampaian vaksin kepada mereka agar penularan virus dapat dikekang serta mempercepatkan bantuan banjir kepada rakyat dan bukannya sibuk berpolitik untuk mengekalkan kuasa tetapi kepentingan rakyat tidak dijaga.

"Rakyat memerhati tindak tanduk anda ketika berkuasa dan rakyat juga boleh menggantikan anda," katanya.

Dalam pada itu, Isham turut menjelaskan, beliau mendengar ura-ura pada Sabtu lalu bahawa Muhyiddin akan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari UMNO dalam usahanya untuk menyelamatkan hubungan partinya, Bersatu dengan UMNO.

"Seperti yang saya nyatakan beberapa bulan lalu, jika pelantikan ini dibuat dengan semberono dan tidak kena calonnya maka ia akan mencetuskan kemelut dalam UMNO serta memecahbelahkan UMNO dari dalam.

"Mungkin ini yang Muhyiddin mahu, iaitu menyelamatkan partinya dengan membeli sedikit masa bernafas dan pada masa yang sama menghuru-harakan serta melemahkan UMNO," katanya.

Tambah Isham, calon yang Muhyiddin mahu dan selesa tentunya tidak akan dipersetujui oleh rata-rata akar umbi serta pemimpin UMNO kerana calon itu akan dilihat cenderung menyebelahi Muhyiddin dan Bersatu.

Sebaliknya, jelas beliau, calon yang akar umbi dan pemimpin UMNO mahu besar kemungkinan tidak akan diterima oleh Muhyiddin dan Bersatu.

"Bersatu tidak lagi boleh 'membeli' UMNO dan UMNO tidak akan menjual diri. Jika kedua-dua parti boleh bersetuju dengan satu nama, jawatan ini hanyalah bersifat sementara selama beberapa bulan sahaja, sebab dengan majoriti yang tipis atau tiada majoriti dalam Parlimen, kemelut politik tentunya akan berlaku lagi dalam sedikit masa sehinggalah Parlimen dibubarkan.

"UMNO tentunya perlu korbankan pelbagai perkara kepada Muhyiddin menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai timbal balas.

"Buat apa terima satu jawatan timbalan untuk beberapa bulan tetapi korbankan perjuangan dan maruah parti kepada Bersatu?," katanya.

Dakwanya, seperti dinyatakan beliau sebelum ini, oleh kerana Bersatu terdiri daripada pelbagai pengkhianat, rakyat akan tolak mereka dalam pilihanraya dan jika UMNO memberi laluan kepada Bersatu maka Pakatan Harapan (PH) yang akan menang dan kembali berkuasa.