X

Kindly register in order to view this article
!

Patuhi amalan buruh yang baik, kata Mohd Khairuddin

Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A

BANGI - Pihak berkepentingan minyak sawit perlu mematuhi amalan buruh yang baik, mendukung standard buruh dan memastikan tiada amalan buruh paksa dan kanak-kanak dalam industri, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, kementeriannya dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengadakan siri pameran bergerak pada tahun lepas untuk menekankan mengenai amalan buruh yang baik di ladang dan akan meningkatkan siri pameran bergerak meliputi Sabah dan Sarawak pada tahun ini untuk mencapai lebih ramai peserta dari kedua-dua wilayah.

Menurutnya, kementerian yakin dakwaan mengenai buruh paksa dan kanak-kanak oleh Amerika Syarikat terhadap industri minyak sawit Malaysia merujuk kepada kes yang tidak signifikan dan terpencil.

“Namun demikian, kami akan berusaha untuk menambah baik persepsi negatif ini terhadap industri,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Tinjauan dan Semakan (R&O) Ekonomi Minyak Sawit 2021 secara maya anjuran MPOB pada Isnin.

Mohd Khairuddin berkata, dakwaan ini perlu diberi perhatian serius berikutan ia akan memberi impak kepada industri.

“Kami kecewa dan sedih dengan Perintah Tahanan Pelepasan yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kementerian dan MPOB telah mengadakan beberapa program kesedaran yang memberi tumpuan kepada kepentingan mengenai amalan buruh yang baik dan ini termasuk perbincangan dengan syarikat perladangan untuk menekankan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada.

Dalam memastikan pengeluaran minyak sawit yang mampan, Mohd Khairuddin berkata, kementerian dan agensi giat mempromosikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) terutamanya dalam kalangan pekebun kecil.

“Kerajaan berharap pensijilan itu akan meningkatkan industri kepada standard global dan meluaskan akses pasaran berdasarkan perubahan keutamaan pengguna,” katanya.

Katanya, sehingga 31 Disember 2020, sejumlah 5.20 juta hektar atau 88.25 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan kelapa sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO.

"Sejumlah 427 kilang kelapa sawit atau 94.47 peratus daripada 452 kilang di negara ini telah mendapat pensijilan MSPO.

“Pengeluaran mampan secara menyeluruh akan menjadikan minyak sawit Malaysia lebih mudah diniagakan dalam pasaran antarabangsa dan meningkatkan daya saingnya dalam jangka masa panjang,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!