KELSS lancar tabung Noraini

Akidi menziarahi Noraini di rumahnya di Kampung Simpul Belubang.
Akidi menziarahi Noraini di rumahnya di Kampung Simpul Belubang.
A
A
A

MACHANG - Kesusahan keluarga Noraini Abu Seman, 58, yang terpaksa mengikat perut bagi menyediakan sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan untuk susu khas mendapat perhatian Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) dengan melancarkan Tabung Kak Noraini sejak 31 Januari lalu.

Dilancarkan di laman media sosial, Facebook itu menyasarkan kutipan sebanyak RM9,000 bagi membantu meringankan perbelanjaan keluarganya yang merangkumi susu khas, lampin pakai buang dan pengangkutan ke hospital.

Ketua Unit Komunikasi dan Media KELSS, Akidi Hamid berkata, sehingga Rabu lalu, pihaknya berjaya mengumpulkan sebanyak RM1,792 dan berharap orang ramai bersama-sama dalam usaha tersebut.

Tambahnya, Noraini yang terlantar koma di Kampung Simpol Belubang bergantung sepenuhnya kepada susu khas bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.

Katanya, suami Noraini, Ramli Che Ngah, 64 yang bekerja sebagai buruh binaan mempunyai pendapatan yang tidak menentu selain tiga anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.

Tambahnya, seorang anak Noraini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sebagai pegawai akaun bagi bersama-sama menguruskan emaknya yang terlantar itu.

"Selain susu, Noraini juga memerlukan lampin pakai buang. Kami berharap tabung ini dapat mengurangkan beban perbelanjaan keluarganya yang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan tidak termasuk lampin pakai buang dan keperluan lain termasuk pengangkutan ke hospital.

"Kutipan Tabung Kak Noraini bermula Khamis lalu dan orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menyumbang dan meringankan beban keluarganya melalui akaun Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial, Bank CIMB 8602498368," katanya.

Artikel Berkaitan: