Dua sahabat dihukum gantung sampai mati

Kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di sini, Isnin.
Kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di sini, Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 626.55 gram di Marang, tiga tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed terhadap Mohd Shazril Hafez Ibrahim dan Ahmad Sawal Ramle selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

"Semasa di peringkat pembelaan, didapati kamu berdua memberi keterangan lebih kepada penafian kosong semata-mata sedangkan penafian bukan satu yang boleh menimbulkan keraguan munasabah," katanya dalam penghakimannya.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 75.06 gram di dalam bilik hadapan sebuah rumah di Jalan Kuala Berang, Kampung Padang Midin, Bukit Payong, Marang, kira-kira jam 6.30 petang, pada 8 Febuari 2018.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis sama seberat 551.49 gram di lokasi, masa dan tarikh sama pada pertuduhan pertama.

Mereka didakwa mengikut seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagi tertuduh pertama, Mohd Shazril Hafez pula, turut berdepan pertuduhan ketiga di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) Akta yang sama iaitu memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 8.07 gram di lokasi, waktu dan hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh juga didapati bersalah sebelum dijatuhi hukuman empat tahun penjara dari tarikh tangkapan dan tiga sebatan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Ahmad Fadhli Mahmud manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed.