Pegawai terlibat skandal kartel daging import tidak dilindungi

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan kakitangannya yang terlibat dalam kartel daging import haram.

Tegas Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung isu berkenaan.

"Saya sebagai menteri di kementerian ini tidak melindungi mana-mana warga MAFI yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas Amanat Tahun 2021 di kementeriannya dekat sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan terhadap kakitangan agensi MAFI yang dipercayai terlibat dengan kartel tersebut.

Sebelum ini, dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor direman lima hari bermula Khamis lalu selepas dipercayai dalam melindungi kegiatan kartel import daging haram.

ARTIKEL BERKAITAN:Kartel daging: Dua Pegawai Maqis Johor direman lima hari

Ditanya mengenai pembatalan Permit Import (AP) terhadap pemegang yang didapati berselindung dengan kartel daging import haram, beliau berkata, pihaknya akan berbuat demikian jika didapati terlibat.

"Pada peringkat ini, tiada pembatalan AP melibatkan mana-mana pihak (kerana) kita tahu beberapa agensi kerajaan sekarang melakukan siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ada pemegang AP terlibat, kita tidak teragak-agak membatalkan lesennya," katanya.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian membongkarkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan sebuah gudang di Senai, Johor sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.