Rina Harun menteri ketiga positif Covid-19

Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun merupakan menteri ketiga positif Covid-19.

Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh pejabatnya pada Isnin, Rina telah disahkan positif Covid-19 setelah mendapat keputusan ujian saringan malam Ahad.

“Beliau menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya pada pagi semalam (Ahad),” katanya.

Tambah kenyataan itu, Ahli Parlimen Titiwangsa berkenaan dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada jam 11 pagi Ahad.

“Beliau memohon maaf jika perkara ini telah menimbulkan apa jua kesulitan dan keresahan kepada semua dan memohon agar ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan untuk semua yang terlibat,” kata kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu juga, semasa ketiadaan Rina, kementeriannya akan meneruskan kerja-kerja kebajikan, pembelaan, pemerkasaan dan pembangunan untuk kumpulan sasar serta segala urusan pengoperasian kementerian akan tetap berjalan seperti biasa.

Pada Ahad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan malam Sabtu.

Mustapa menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur pada pagi Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, merupakan menteri pertama positif Covid-19.