Wanita maut kereta dipandu suami terbabas

Keadaan kereta yang terbabit dalam nahas di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Kayan pada Ahad.
Keadaan kereta yang terbabit dalam nahas di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Kayan pada Ahad.
A
A
A

MANJUNG - Seorang wanita meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki bersama lima ahli keluarganya hilang kawalan dan merempuh tembok jalan di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Kayan di sini pada Ahad.

Noratikah Syakira Azman, 22, disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Sri Manjung pada jam 9.17 malam selepas parah dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kemalangan sekitar 3.30 petang itu berlaku apabila kereta jenis Proton dipandu suami mangsa terbabas sendiri dipercayai akibat mengantuk.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan lalu melanggar tembok konkrit di bahu jalan.

"Nahas telah mengakibatkan suami mangsa berusia 29 tahun luka di muka dan kaki dan anak lelaki mereka berusia 4 tahun mengalami pendarahan dalam kepala.

"Ibu mangsa berusia 51 tahun dan anak saudaranya berusia 10 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami cedera di muka dan kaki, manakala adik perempuan mangsa berusia 13 tahun luka di kaki," katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan susulan.

Katanya, Noratikah yang mengalami cedera di dada telah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.