Politik, Covid-19 gugat kesejahteraan negara

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

JUMLAH kes penularan Covid-19 di Malaysia nampaknya semakin hari semakin membimbangkan. Rakyat yang enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan bergerak terlalu bebas dikatakan antara puncanya.

Tatkala rakyat jelata dipersalahkan, bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin politik? Apakah mereka yang berkuasa dan berjawatan tinggi itu benar-benar mematuhi SOP seperti rakyat biasa?

Tidak keterlaluan jika dikatakan pemimpin-pemimpin politik turut bertanggungjawab sehingga menyebabkan rantaian Covid-19 di Malaysia masih gagal diputuskan sehingga hari ini.

Selain pandemik Covid-19, situasi politik turut menggugat kesejahteraan negara.

Sesudah hampir setahun berlalu sejak pembentukan kerajaan baharu, parti-parti politik sama ada parti kerajaan mahupun pembangkang terus bersengketa. Mereka bukan sahaja menentang parti lawan, malah bercakaran sesama rakan-rakan dalam parti sendiri.

Akibatnya, rakyat yang dihimpit masalah kehilangan kerja dan pendapatan merosot diabaikan pemimpin-pemimpin seperti ini yang lebih mengutamakan kepentingan sendiri.

Kita pada ketika ini mendepani pergolakan politik yang bercelaru, penularan Covid-19 secara berleluasa dan sara hidup rakyat terus dalam kedudukan tertekan tanpa pembelaan.

Lebih malang lagi, hubungan UMNO dengan Bersatu nampak semakin hari semakin tegang sehingga menyebabkan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) begitu rapuh sekali.

Artikel Berkaitan:

Mampukah kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kurang stabil dan diburukkan lagi dengan penularan Covid-19 membawa rakyat mencapai kehidupan yang lebih sejahtera?

Oleh itu, yang penting bagi kerajaan adalah untuk menstabilkan kedudukan politik. Utamakanlah agenda pembelaan rakyat.

Pemimpin-pemimpin politik janganlah hanya berpolitik. Jangan fikirkan diri dan parti tetapi kebajikan rakyat harus menjadi agenda mereka.

Bagi rakyat, mereka tidak sedikit pun terhibur dengan sandiwara serta tidak mahu terperangkap dengan janji-janji yang tidak pernah tidak dikotakan.