Kesan pengeluaran akaun satu KWSP

No Image Caption
A
A
A

DISEMBER lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran akaun satu bagi ahli yang terjejas akibat Covid-19.

Walaupun pengumuman itu memberi kelegaan dalam kalangan ahli, perlu diingatkan bahawa keputusan itu memberi kesan kepada simpanan persaraan.

Simpanan KWSP tidak sama seperti simpanan di institusi perbankan.

Simpanan KWSP ialah simpanan jangka masa panjang sebagai pendapatan utama kepada pencarum apabila mencapai umur persaraan, manakala simpanan kecemasan pula bagi tujuan kecemasan dan mudah dikeluarkan seperti simpanan di bank.

Jumlah simpanan kecemasan yang dicadangkan ialah sebanyak enam kali daripada jumlah gaji bulanan.

Apa yang terjadi pada hari ini, caruman yang dikhususkan untuk persaraan dibenarkan pengeluaran sebelum tiba masanya.

Hal itu akan menyebabkan simpanan persaraan berkurangan. Sebagai contoh, sekiranya ahli yang mempunyai jumlah simpanan akaun satu sebanyak RM50,000, pengeluaran sebanyak RM10,000 menjadikan pengurangan simpanan sebanyak 20 peratus.

Walaupun caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam akaun satu sehingga amaun yang diterima digantikan semula, berapa lamakah ahli (khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan berusia) perlu mencarum bagi mendapat kembali jumlah asal simpanan?

Artikel Berkaitan:

KWSP menyasarkan simpanan minimum ahli sebanyak RM240,000 apabila mencapai umur 55 tahun berdasarkan peningkatan jangka hayat penduduk dan kadar pencen minimum pekerja sektor awam.

Forum Ekonomi Dunia mencadangkan 10 peratus hingga 15 peratus daripada jumlah pendapatan tahunan untuk simpanan persaraan.

Namun, laporan tahunan 2019 menunjukkan, sejumlah 75 peratus ahli aktif mempunyai jumlah simpanan kurang daripada RM100,000, manakala 58 peratus ahli memiliki jumlah simpanan kurang daripada RM50,000.

Bimbang simpanan persaraan tidak mencukupi, pelbagai inisiatif dilakukan, antaranya dengan memperkenalkan Skim Persaraan Swasta (PRS) pada tahun 2012.

Namun, skim PRS dilihat kurang berkesan memupuk tabiat menyimpan dalam kalangan masyarakat kerana mereka yang menyimpan melalui skim PRS hanya berminat dengan insentif pengecualian cukai pendapatan yang oleh kerajaan sebanyak RM3,000.

Kaji selidik oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit pada tahun 2018 menunjukkan lebih separuh rakyat Malaysia sukar untuk menyediakan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.

Selain itu, sehingga tahun 2019, sebanyak 84,805 kes muflis dan lebih separuh kes berlaku dalam kalangan mereka yang berumur 45 tahun ke bawah, 42 peratus berpunca daripada pinjaman peribadi dan kad kredit.

Jika dibandingkan antara jumlah akaun PRS dengan jumlah pemegang kad kredit, setakat tahun 2019, jumlah pemegang kad kredit ialah sebanyak 8.9 juta, manakala jumlah akaun PRS hanya 455,000 dengan jumlah aset sebanyak RM3.5 bilion.

Selain kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, ia juga berkaitan dengan psikologi pengguna yang dapat diterangkan melalui model hyperbolic discounting.

Model itu menerangkan walaupun pengguna mampu memperoleh ganjaran yang besar pada masa hadapan, oleh sebab faktor masa, mereka pilih ganjaran yang lebih kecil tetapi pada masa yang singkat.

Mungkin hari ini kita boleh menggunakan akaun satu, namun adakah kita mempunyai sumber kewangan lain sekiranya keadaan serupa berulang?

* Mohd Sedek Jantan ialah Ketua Jabatan Pelaburan dan Perancangan Kewangan, UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd