X

Kindly register in order to view this article
!

Stres 2020 guru kehidupan 2021

A
A

TAHUN 2020 telah pergi. Pandemik Covid-19 yang hadir pada tahun 2020 mengakibatkan kehidupan persis terhenti seketika. Walaupun telah genap setahun ia menakluk dunia, tiada tanda-tanda ia mahu reda.

Penghasilan vaksin sebagai penawar kepada pandemik ini rancak dilakukan, namun keberkesanannya masih belum terbukti.

Covid-19 yang belum reda amukannya, perintah kawalan pergerakan, penjarakan fizikal dan perang vaksin yang ditambah dengan hiruk-pikuk politik menjadikan tahun 2020 tahun haru-biru dan kelam. Ia memberi impak berbeza-beza kepada setiap insan.

Semua pihak terkesan akan kehadiran Covid-19 dan isu-isu seputarnya. Bayi dan anak kecil berasa stres kerana keseronokan dan kebahagiaan bersama keluarga di rumah telah berakhir apabila ibu bapanya perlu kembali bekerja dan melipatgandakan usaha menambah baik ekonomi keluarga yang terjejas akibat pandemik.

Anak-anak sekolah dan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berasa stres memikirkan kemungkinan wujud jurang ilmu serta kemahiran yang menjejaskan kemenjadian mereka di samping isu ketepatan kayu pengukur kecemerlangan akademik, ko-kurikulum, sahsiah dan lain-lain melalui pelantar dalam talian.

Hubungan sosial yang sepatutnya terbina di halaman sekolah dengan rakan sebaya juga turut membekas dalam kehidupan mereka.

Graduan IPT stres memikirkan kehidupan masa hadapan selepas menamatkan pengajian.

Kebimbangan turut menghantui mereka kerana memikirkan peluang pekerjaan yang entahkan ada, entahkan tidak di luar sana.

Pekerja pula stres dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dipenuhi dalam keterbatasan pergerakan dan komunikasi.

Selain itu, ada sesetengah daripada mereka sangat tertekan memikirkan kerjaya yang berada di hujung tanduk kerana majikan terpaksa gulung tikar.

Usahawan pula berasa stres untuk membangunkan semula perniagaan yang terkesan dan terjejas teruk akibat Covid-19 dan aktiviti PKP.

Bagi golongan pesara, mereka stres memikirkan kedudukan dan kelangsungan kewangan yang semakin menyusut atau tahap kesihatan yang semakin membimbangkan.

Pesakit Covid-19 atau individu yang kehilangan ahli keluarga dan rakan karib pula akan dihantui ketakutan dan stres memikirkan kuasa makhluk halus itu.

Stres akibat perubahan persekitaran pekerjaan ditambah pula dengan isu kewangan atau beban hutang individu menjadikan isu stres pandemik 2021 sebagai pasca pandemik Covid-19.

Jawapan

Tanpa mengira siapa pun mereka, kesemua mendapat tempias kehebatan makhluk bersaiz nanometer ciptaan ALLAH yang membawa ketakutan berpanjangan kepada jagat raya.

Apa yang berlaku menyebabkan setiap individu bungkam dan sukar membayangkan apa yang akan terjadi kepada kehidupan pada tahun 2021.

Penulis sendiri tiada jawapan tuntas untuk menghilangkan rasa resah gelisah dan gundah-gulana semua orang.

Pun begitu, penulis berpandangan kesedaran dan kesediaan untuk berubah menjadi kunci ampuh menelusuri kehidupan pada tahun 2021.

Mengimbau kenangan lalu, mendepani realiti masa kini dan menetapkan jangkaan masa hadapan mampu memberi jawapan kepada pemulihan emosi dan stres individu.

Peralihan paradigma yang lebih sihat dan positif melalui ilmu pengetahuan dan pendidikan mampu membantu individu untuk bangkit kembali daripada cengkaman stres 2020.

Cabaran stres pada tahun 2020 bagaikan kesakitan yang memangkin sistem tubuh dan minda untuk merembeskan antibodi serta pertahanan demi kelangsungan hidup.

Jadilah seseorang yang berupaya mengawal persekitaran dan mengubah stres negatif kepada positif.

Tiada siapa mampu memastikan kehidupan yang muluk dalam tahun 2021.

Apa yang pasti, hanya ilmu pengetahuan, pendidikan dan minda terbuka mampu membantu individu meneruskan perjuangan 2020 dan bangkit gagah pada tahun 2021.

* Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Profesor Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Organisasi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!