Kes Covid-19 kekal di atas paras 2,000

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sejumlah 2,433 kes harian baharu Covid-19 dilapor pada Ahad dengan sembilan kematian dan lima kluster baharu.

Jumlah kes sembuh pula sebanyak 1,277, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya Covid-19 di Malaysia ialah 108,109 kes iaitu 79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga Ahad, jumlah kumulatif kes positif ialah 135,992 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 27,332 kes.

"Daripada jumlah kes baharu yang dilapor hari ini, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan Covid-19 dalam negara pula sebanyak 2,426 kes.

"Bagi kes penularan di dalam negara, 1,784 kes adalah warganegara Malaysia dan 642 kes adalah bukan warganegara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 730 kes, diikuti Sabah 403 kes dan Johor (321 kes).

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian pula membabitkan enam lelaki termasuk dua bukan warganegara, serta tiga wanita warga Malaysia yang berusia antara 37 hingga 94 tahun, melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 171 kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 76 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat lima kluster baharu iaitu Kluster Tapak Bina Cyber, Kluster Texmile dan Kluster Jalan Sibuga serta dua kluster rentas negeri iaitu Kluster Alor Durian dan Kluster Wakaf Lanas.

Kluster Tapak Bina Cyber dikesan melibatkan daerah Sepang, Petaling, Klang dan Hulu Langat di Selangor mencatat 67 kes positif Covid-19 iaitu Kluster Texmile di Gombak, Selangor (19 kes), manakala Kluster Jalan Sibuga di Sandakan, Sabah mencatat sembilan kes.

Selain itu, Kluster Alor Durian di Tumpat dan Kota Bahru, Kelantan mencatat 17 kes dan Kluster Wakaf Lanas di Pasir Puteh, Kelantan dengan 11 kes.

Dr Noor Hisham berkata, kluster yang tamat ialah Kluster Bandar Impian, Kluster Indah Mas, Kluster Kubota, Kluster Batu Tiga, Kluster Rumah Merah, Kluster Sri Jujur, dan Kluster PTS Sibuga.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau kini ialah 254 kluster dan daripada jumlah itu, sebanyak 65 kluster melaporkan pertambahan kes pada Ahad. - Bernama