Keluarga mangsa penumpang SJ182 mengharap keajaiban

Yaman Zai menunjukkan gambar anak mereka yang turut menaiki pesawat SJ182 itu yang dihantar isterinya sebelum tragedi tersebut berlaku. - Foto Agensi
Yaman Zai menunjukkan gambar anak mereka yang turut menaiki pesawat SJ182 itu yang dihantar isterinya sebelum tragedi tersebut berlaku. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Keluarga dan rakan kesemua 62 mangsa penumpang pesawat Sriwijaya Air menunggu dengan penuh debaran tentang perkembangan terkini SJ182 yang didakwa terhempas sejurus ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di ibu negara Indonesia pada Sabtu.

“Saya mengharapkan keajaiban akan berlaku walaupun peluang untuk menemui mereka yang masih hidup adalah tipis.

“Saya berharap pasukan penyelamat dapat menemui mayat mereka supaya kami dapat melakukan pengebumian secara sempurna,” kata Muhammad Haekal yang merupakan sepupu kepada Athar Rizki Riawan dan empat ahli keluarga lain yang turut menaiki penerbangan menuju ke Pontianak, Kalimantan Barat tersebut.

Menurutnya, dia bersama ahli keluarganya yang lain bergegas ke lapangan terbang tersebut sejurus menerima berita ‘kehilangan’ pesawat terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat Sriwijaya Air terputus hubungan selepas berlepas

Sementara itu, Betty Saprianti yang mempunyai empat ahli keluarga menaiki penerbangan itu juga menzahirkan harapan sama.

‘Saya berdoa kepada ALLAH SWT agar keajaiban berlaku. Aku pinta kepada-Mu, selamatkanlah mereka,” ujarnya dengan nada sedih.

Terdahulu, Presiden Joko Widodo atau Jokowi juga menzahirkan ucapan takziah dan menggesa penduduk negara itu berdoa bersama-sama agar mangsa penumpang dapat ditemui.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, lebih 300 anggota keselamatan termasuk tentera laut dan polis menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai helikopter dan flotila kapal perang di perairan Kepulauan Seribu di utara Jakarta yang dipercayai menjadi kawasan titik terakhir pesawat tersebut.

Antara objek yang ditemui adalah barangan dipercayai milik mangsa penumpang seperti pakaian kanak-kanak, jaket keselamatan dan beberapa bahagian serpihan pesawat.

“Sebanyak lima beg mengandungi cebisan tubuh manusia sudah dihantar ke hospital polis untuk proses kenal pasti identiti. Kita masih belum tahu sama ada ia milik seorang individu atau tidak. Selain itu, sebanyak tiga beg berjaya mengumpulkan sisa serpihan pesawat itu,” kata jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi cari bangkai pesawat Sriwijaya Air dipertingkat

Cebisan tubuh manusia ditemui di luar pesisir Jakarta

Cebisan tubuh manusia ditemui di lokasi nahas SJ182

Sejak malam Sabtu, kebanyakan keluarga mangsa penumpang yang dikejutkan dengan berita tragedi awal tahun itu telah berkumpul di Lapangan Terbang Supadio di Pontianak dengan perasaan bercampur-baur.

“Isteri dan tiga anak saya menaiki pesawat itu. Hari ini, isteri saya ada hantar gambar bayi kami. Bagaimana hati saya tidak berkecai apabila mengenangkan nasib mereka,” kata Yaman Zai sambil menangis.

Pada mulanya, operasi SAR terbabit dilaporkan berdepan kesukaran akibat cuaca buruk, namun jarak penglihatan telah bertambah baik bagi meneruskan misi tersebut. - Agensi